Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

TIDAK PERLU LAYAN PEMBANGKANG - TUN M

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak perlu mendengar dan melayan sebarang desakan daripada pembangkang.

Menurut beliau, ini kerana pembangkang tidak ikhlas untuk membawa pembaharuan yang memberi kebaikan sebaliknya hanya mengambil atau mereka-reka sesuatu isu untuk menumbangkan kerajaan.

"Pada pendapat saya, apabila pembangkang cakap sesuatu, jangan layan mereka, selama 23 tahun (menjadi Perdana Menteri) saya tidak melayan mereka.

"Pembangkang akan sentiasa menuduh kerajaan menipu, apabila mereka mahukan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan kerajaan akur pada permintaan itu, namun mereka tetap tidak menghargainya.

"Mereka tidak berminat untuk menjadikan perkara lebih baik atau pilihan raya bersih, mereka hanya mahukan isu dan di sebalik semua permintaan ditunaikan termasuk membenarkan pengundi-pengundi yang berada di luar negara, mereka tetap tuduh kerajaan menipu," katanya ketika berucap dalam Forum Ketua Pegawai Eksekutif 2013 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, beliau bagaimanapun melihat beberapa parti pembangkang semakin matang apabila dua parti iaitu DAP dan Pas tidak menyokong demonstrasi yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Politik tidak selalunya rasional, pembangkang menggunakan segala isu untuk menuduh kerajaan menipu, mereka boleh tuduh perkara itu tetapi jangan buat kekacauan di negara ini, sekiranya kita menjadi matang, negara ini ada masa depan yang lebih baik," katanya.

Katanya, beliau bersyukur rakyat Malaysia tidak mempunyai budaya ganas namun hak kebebasan bersuara tidak sewajarnya disalahgunakan dan perkara itu perlu dikawal selia untuk menjaga keamanan serta kestabilan negara.

Katanya, usaha juga perlu dilakukan untuk memperkukuhkan integrasi serta perpaduan rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama.

Menurutnya, matlamat itu boleh dicapai dengan setiap rakyat Malaysia memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dan setiap pelajar tanpa mengira bangsa mendapat pendidikan di sistem sekolah yang sama.

Dalam pada itu, menurut Dr. Mahathir, beliau percaya kepada sistem demokrasi, namun beliau berpendapat kerajaan perlu kuat bagi menghadapi cabaran yang bukan sahaja datang dari dalam negara tetapi juga luar negara.

"Sekiranya kerajaan lemah, pelaksanaan polisi dan undang-undang menghadapi kesukaran, lagipun kita memerlukan tempoh masa untuk satu-satu idea direalisasikan," katanya. –Utusan Online

PARLIMEN KE-13 LEBIH HANGAT, LEBIH GANAS

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dijangka bakal menyaksikan pertembungan lebih hangat apabila ianya mula bersidang pada 26 Jun ini.

Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, Parlimen penggal ini disertai lebih ramai ahli dari kalangan orang muda dan ianya memberi impak kepada suasana persidangan tersebut.

“Apa yang paling utama adalah mencari kesepakatan dalam menyelesaikan isu rakyat dan ditangani bersama-sama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, setiap ahli parlimen haruslah menggunakan setiap ruang yang ada untuk memperjuangkan hak rakyat dipandukan oleh matlamat untuk memajukan negara dan bukannya bertelagah dan mencari kesalahan untuk kepentingan diri atau parti.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih, seharusnya semua Ahli Parlimen dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

“Elakkan daripada isu boikot yang mana sebelum ini ramai Ahli Parlimen yang berpakat keluar Dewan Rakyat jika tidak setuju dengan usul atau jawapan daripada pihak lain,” tegasnya.

Menurutnya lagi, sabotaj seperti yang dilakukan sebelum ini perlu dihentikan termasuk tindakan keluar dewan ketika parlimen masih bersidang.

“Perkara ini harus diberi peringatan sebelum sidang Parlimen bermula. Ia hanya akan mengundang lebih banyak masalah.

“Saya tidak lihat apakah positifnya tindakan sedemikian dilakukan. Saya juga berharap semua Ahli Parlimen akan dapat mewakili rakyat menjadi seorang yang lebih matang dalam mengutarakan setiap isu tanpa prejudis,” katanya. –KLPos.com

MENGADU KE INDONESIA, ANWAR TIDAK BERJIWA BESAR

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menunjukkan dirinya berjiwa besar dalam ekoran mengadu kepada pemimpin Indonesia dengan mendakwa berlaku kepincangan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Anwar Ibrahim bersama Goenawan Mohamad (kiri) dan Ulil Abshar Abdalla di Indonesia
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Anwar dilihat ketandusan idea sehingga bertindak mencari campur tangan asing dalam isu tempatan.

“Beliau dilihat ‘kemaruk’ kuasa yang mana tidak kesampaian. Mengapa nak burukkan proses pilihan raya hingga ke luar negara tanpa asas bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Khairy mengulas mengenai tindakan Anwar mengadu kepada Presiden Indonesia  Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas Naib Presiden Republik tersebut, Jusuf Kalla, dengan mendakwa berlakunya kecurangan pada PRU13.

Jelasnya, sebarang ketidakpuashatian mengenai PRU13 boleh dilawan di mahkamah selepas petisyen pilihan raya difailkan.

“Adalah lebih baik jika didapati wujud kelemahan tertentu, failkan petisyen pilihan raya dan selesaikan di mahkamah,” katanya.

Tambah Khairy, tindakan Anwar mengadu kepada pemimpin luar memalukan dirinya sendiri.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Mokhtar menjelaskan, tindakan Anwar tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan Barisan Nasional ekoran pemimpin luar negara sedar akan perkara sebenar dan tidak akan termakan dakwaan pembangkang.

“Saya tidak hairan tindakan sedemikian. Itulah sikap sebenar mereka (PR) yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan mereka.

“Saya percaya, pemimpin luar negara juga sudah mengetahui agenda tersebut. Jika ada yang tidak puas hati, selesai cara profesional di mahkamah,” katanya.

Katanya lagi, hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia tidak akan terjejas dan kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan pemimpin luar. –KLPos.com

Monday, June 10, 2013

80% MAHU ANWAR BERSARA

KUALA LUMPUR - Lebih 80 peratus pembaca akhbar kewangan, The Edge mahu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara setelah pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bancian secara online akhbar itu menerusi laman web, www.theedgemalaysia.com menunjukkan, sehingga pukul 7.30 petang ini sebanyak 9,077 orang menyatakan sokongan supaya Anwar mengotakan janji meletak jawatan.

Sementara itu, sebanyak 2,082 orang pula mahu Anwar terus mengetuai pakatan pembangkang kerana berjaya memenangi lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya umum lalu.

Bancian yang masih berjalan di bawah tajuk 'Pakatan rakyat telah gagal menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)’. Adakah Anwar perlu meletak jawatan sebagai ketua' secara keseluruhannya mendapat jumlah undian sebanyak 11,158 orang setakat ini.

Anwar dalam video ucapannya pada 17 Ogos tahun lalu mendakwa beliau akan berundur daripada politik dan memilih menjadi pensyarah jika rakyat masih memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Dalam pada itu, AdQrate dalam laporan yang boleh dilayari di www.adqrate.com/newspaper/details?id>35&type>1 menjelaskan, kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan 120,000 pembaca akhbar The Edge adalah kaum Cina, manakala bakinya kaum-kaum lain. – Utusan Online