Showing posts with label Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Indonesia. Show all posts

Tuesday, July 2, 2013

~

KOS AMAH INDONESIA PADA KADAR RM8,000

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju menetapkan kos pengambilan pembantu rumah asing Indonesia pada kadar RM8,000 setelah mengambil kira kos-kos yang wujud melibatkan kedua-dua negara.
  
Sudah dibayar mahal, jangan begini pula jadinya 
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia diputuskan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang bermesyuarat di sini hari ini.
  
Beliau berkata penetapan kos itu adalah antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerja Domestik Indonesia di antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia 2011, yang tertangguh pelaksanaannya sebelum ini.
  
"Antara kos yang terlibat ialah latihan selama 200 jam, kos dokumen perjalanan, kos makanan dan penginapan pembantu rumah sebelum diserahkan kepada majikan, kos pengangkutan, kos pemeriksaan kesihatan serta bayaran kepada agensi pekerjaan di kedua-dua negara," katanya.    

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarakat kali ke-10 jawatankuasa itu di Bangunan Parlimen.
Di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia sebelum ini, bayaran kepada agensi pembantu rumah asing Indonesia ditetapkan sebanyak RM4,511 iaitu RM2,711 dibayar oleh majikan dan RM1,800 oleh pembantu rumah berkenaan.
  
"Mungkin sesetengah pihak berkata kos telah naik dari RM4,500 ke RM8,000. Tetapi, sekiranya kerajaan Malaysia tidak bersetuju dengan itu, sampai bila-bila pun kita tidak dapat melaksana pengambilan pembantu rumah Indonesia.
  
"Indonesia sudah membandingkan dengan negara lain yang sanggup bayar tinggi. Rakyat Malaysia mahukan pembantu rumah. Kalau begitu, kita kena mengambil kira faktor di luar kawalan sebagai penanda aras walaupun kos dianggap tinggi," kata Muhyiddin.
  
Timbalan Perdana Menteri berkata perubahan kos struktur itu akan dibawa ke dalam perundingan di antara kedua-dua kerajaan bagi mendapatkan persetujuan, agar dapat dikuatkuasakan secepat mungkin.
  
Beliau berkata perinciannya akan disampaikan oleh Kementerian Sumber Manusia setelah mendapat persetujuan bersama, dan pihak yang berurusan dengan pengambilan pembantu rumah hendaklah mematuhinya.

Selain itu,  Muhyiddin berkata jawatankuasa berkenaan juga memutuskan supaya pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012 tidak terpakai kepada pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
  
"Gaji minimum kita tak ambil kira. Itu terserah kepada majikan untuk tentukan mengikut kadar pasaran," katanya.
  
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan juga memutuskan untuk memansuhkan pengeluaran Journey Perform Visa (JP Visa) mulai 1 Oktober 2013.

Sebelum ini JP Visa dikeluarkan kepada warganegara Indonesia yang memasuki negara ini melalui Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.  –Bernama/ Sinar Harian

Tuesday, June 25, 2013

JAKARTA HARUS BERTINDAK TERHADAP SYARIKAT YANG MENGAKIBATKAN JEREBU – PM

KUALA LUMPUR: Putrajaya mahu Jakarta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang menyebabkan jerebu, tanpa mengira pemilikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menghantar surat kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggesa kerajaan Indonesia untuk bertindak terhadap pesalah-pesalah.

"Tidak kira sama ada syarikat-syarikat milik Malaysia, Singapura atau Indonesia. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang menyebabkan jerebu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Najib berkata, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Indonesia pada Rabu untuk membincangkan mengenai isu jerebu.


Malaysia, katanya, juga akan menawarkan perkhidmatan pesawat pengebom air kepada Indonesia untuk membantu memadamkan kebakaran. -mStar

Wednesday, June 19, 2013

MENGADU KE INDONESIA, ANWAR TIDAK BERJIWA BESAR

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menunjukkan dirinya berjiwa besar dalam ekoran mengadu kepada pemimpin Indonesia dengan mendakwa berlaku kepincangan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Anwar Ibrahim bersama Goenawan Mohamad (kiri) dan Ulil Abshar Abdalla di Indonesia
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Anwar dilihat ketandusan idea sehingga bertindak mencari campur tangan asing dalam isu tempatan.

“Beliau dilihat ‘kemaruk’ kuasa yang mana tidak kesampaian. Mengapa nak burukkan proses pilihan raya hingga ke luar negara tanpa asas bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Khairy mengulas mengenai tindakan Anwar mengadu kepada Presiden Indonesia  Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas Naib Presiden Republik tersebut, Jusuf Kalla, dengan mendakwa berlakunya kecurangan pada PRU13.

Jelasnya, sebarang ketidakpuashatian mengenai PRU13 boleh dilawan di mahkamah selepas petisyen pilihan raya difailkan.

“Adalah lebih baik jika didapati wujud kelemahan tertentu, failkan petisyen pilihan raya dan selesaikan di mahkamah,” katanya.

Tambah Khairy, tindakan Anwar mengadu kepada pemimpin luar memalukan dirinya sendiri.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Mokhtar menjelaskan, tindakan Anwar tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan Barisan Nasional ekoran pemimpin luar negara sedar akan perkara sebenar dan tidak akan termakan dakwaan pembangkang.

“Saya tidak hairan tindakan sedemikian. Itulah sikap sebenar mereka (PR) yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan mereka.

“Saya percaya, pemimpin luar negara juga sudah mengetahui agenda tersebut. Jika ada yang tidak puas hati, selesai cara profesional di mahkamah,” katanya.

Katanya lagi, hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia tidak akan terjejas dan kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan pemimpin luar. –KLPos.com

Friday, December 28, 2012

WARGA INDONESIA SELESA CARI REZEKI DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Mencari rezeki dengan bekerja di Malaysia merupakan pilihan terbaik menurut pandangan sebahagian warganegara Indonesia yang sudah lama bekerja di negara ini dalam sektor-sektor yang dibenarkan kerajaan.

Mereka mengakui murah rezeki di bumi Malaysia kerana terdapat banyak dan luasnya peluang pekerjaan selain faktor majikan yang baik bagi yang bekerja sebagai pembantu rumah, upah yang lumayan bagi pekerja sektor lain berbanding dengan di kampung asal mereka dan berasa aman tinggal di sini dengan mempunyai surat perjalanan dan visa yang lengkap.

Aspek surat dan dokumen perjalanan yang sah sentiasa menjadi nasihat utama Duta Besar Indonesia di Malaysia yang baru Herman Prayitno kepada warga Indonesia di segenap ceruk rantau Malaysia.

Beliau tidak mahu warga Indonesia yang bekerja di negara ini mengambil mudah hal ehwal pengurusan dokumen penting seperti pasport dan pembaharuan permit kerja bagi mengelak sebarang kesulitan kepada pekerja, yang sekali gus dapat pula menjamin hak-hak mereka sebagai pekerja di negara ini.

"Selain itu, warga Indonesia di Malaysia juga harus menjunjung undang-undang negara ini, bekerja dengan baik dan hidup dengan aman," katanya pada satu pertemuan dengan sebahagian warga negara Indonesia di sini baru-baru ini.

Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai dua juta warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia dengan 20 peratus daripadanya bekerja sebagai pembantu rumah.

Banyak pengalaman manis dan menarik yang dialami oleh tenaga kerja Indonesia di Malaysia, juga cerita-cerita kejayaan mereka membantu menyara keluarga di tanah air , malah mengumpul cukup wang untuk membeli serba sedikit harta seperti rumah dan kenderaan di kampung halaman.

Seorang pembantu rumah warga Indonesia, Sutini, 37, tidak pernah menyangka majikannya memberikan limpahan kasih sayang dan menghormati dirinya sekali gus mengubati kerinduannya kepada keluarga di Indonesia.

"Saya sayang kepada majikan sebab saya hormati dia dan pada masa yang sama dia pun hormati saya serta beri kebebasan kepada saya di sini...saya memang untung mendapat majikan sepertinya.

"Dulu saya pernah jaga ibu majikan saya semasa dia jatuh sakit, jadi dia (majikan) tahu saya ikhlas. Saya jaga emaknya seperti ibu sendiri sebab saya pun tiada ibu sejak kecil," katanya yang kemudiannya pula menjaga majikannya yang disahkan doktor menghidap barah kerongkong.

Sutini yang telah berkhidmat selama lapan tahun sebagai pembantu rumah kepada Ngeow Yee Kong, 50, di Cameron Highlands turut diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan sayur setelah majikannya itu jatuh sakit.

Sementara itu, seorang lagi pembantu rumah dari Indonesia, Khomisah Khasanudin, 39, berkata umpama mimpi, beliau tidak menyangka berpeluang meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dengan belajar bahasa Inggeris apabila menjejak kaki ke Kuala Lumpur.

"Apatah lagi, dapat belajar pula secara gratis (percuma).(I) cannot believe. (When I) go back home (to East Java) I can talk English," katanya ketika ditemui Bernama di kelas yang diadakan di tingkat atas sebuah restoran makanan Indonesia dekat Pasar Seni baru-baru ini.

Mengakui buta huruf, beliau belajar dengan cara menghafal dan mengulangi lafaz dan kata-kata untuk perbualan harian dalam bahasa Inggeris.

Bekerja di rumah majikannya di Bangsar, dia hanya mengeluarkan belanja RM4 seminggu sekali untuk tambang bas pergi balik ke kelas itu selain sedikit lagi untuk makan tengah hari bersama rakan sekelas.

"Saya juga beruntung kerana majikan tidak menghalang, sebaliknya sangat kuat mendorong saya belajar untuk menambah pengetahuan," katanya, yang menganggap Malaysia sebagai bumi bertuah baginya.

Sutini dan Khomisah adalah dua cerita kejayaan rakyat Indonesia membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka di kampung halaman dengan hasil rezeki halal yang diperolehi di Malaysia.

Banyak lagi tenaga kerja Indonesia yang mempunyai cerita-cerita manis termasuk yang berpeluang melawat ke pelbagai negara dan juga mengerjakan umrah bersama majikan mereka.

Bagi Ketua Kumpulan Ibu-Ibu Indonesia yang menetap di Malaysia atau dikenali 'IndoKL Women', Yuri Hudiyana Utami yang sudah hampir 10 tahun menetap di negara ini kerana mengikut suaminya yang bertugas sebagai Pengurus Teknologi Maklumat di sebuah sekolah antarabangsa, rasa kekok menyesuaikan diri hanya sebulan dua terawal sahaja.

Faktor bahasa yang hampir sama, sosiobudaya yang tidak banyak berbeza, pelbagai kemudahan awam dan keramahan rakyat Malaysia berbilang kaum serta keadaan aman damai merupakan antara penambat hati mereka untuk terus menetap di negara ini.

"Layanan baik yang saya terima daripada rakan dan sahabat handai Malaysia termasuk jiran tetangga dan rakan-rakan sekerja suami, membuatkan saya cepat merasa seperti berada di rumah sendiri. Saya percaya ramai lagi yang mempunyai pengalaman sama dengan saya.

"Benar, tidak susah untuk jatuh hati kepada Malaysia dan rakyatnya. Asal ikhlas bergaul dengan jiran-jiran, kita dapat rasai keikhlasan dan penerimaan mereka...secara tak langsung boleh ubah pandangan kita terhadap orang Malaysia dan juga pandangan orang Malaysia terhadap orang Indonesia," katanya.

Beliau berkata hal fasiliti yang lebih teratur dan sistematik serta sistem pemerintahan yang diterajui dengan baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberi keselesaan kepada mereka untuk terus tinggal di sini.

Bagi wartawan Aulia Badar pula, pengalaman yang ditimba di Malaysia bukan sekadar melaporkan mengenai perkembangan ekonomi, sosio-budaya dan pendidikan di negara ini untuk tatapan warga Indonesia, malah turut membuka peluang baginya berbakti kepada sesama tenaga kerja Indonesia di sini.

Kelas latihan bahasa Inggeris dan komputer dan yang diusahakannya dengan beberapa lagi ekspatriat profesional Indonesia di sini sudah melatih lebih 100 rakan senegara menimba kemahiran baru, malah kini diperluaskan dan dengan kebenaran Kedutaan Indonesia dipindahkan ke premis tetap di Sekolah Indonesia di sini untuk menampung lebih banyak permintaan. - BERNAMA/mStar