KUALA
LUMPUR, 22 Mac — Mengambil contoh dari kempen pertama Barack Obama untuk
pilihan raya presiden 2008, Datuk Seri Najib Razak merayu secara langsung
pengundi kali pertama Malaysia dengan “Kit Tindakan” untuk membantu beliau
memenangi Pilihan Raya 2013.
Selain
daripada peralatan seperti buku, pen, kolar-pin dan pelekat, blog peribadi
perdana menteri juga diisi dengan klip video menjelaskan Pendapatan Negara
Kasar (PNK), Pelaburan Asing Langsung (FDI) dan Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) yang telah menunjukkan peningkatan sejak beliau mengambil alih jawatan
pada 2009.
Sumber dari
Barisan Nasional (BN) memberitahu lebih kurang 3.3 juta pengundi baru akan
menjadi kunci kepada pencapaian gabungan pemerintah itu dalam pilihan raya umum
(PRU) ke 13.
“Pengundi
kali pertama masih belum membuat keputusan lagi dan itulah sebabnya strategi
internet sangat penting, seperti yang ditunjukkan oleh Obama pada 2008 apabila
menang dengan bergaya menggunakan laman sesawang,” kata sumber BN kepada The
Malaysian Insider.
“Lagipun,
pengundi muda ini bergantung dengan maklumat dari laman sesawang lebih daripada
media arus perdana. Jadi kita perlu sampai kepada mereka dengan mana-mana cara
yang kita boleh,” tambah beliau.
Dalam blog
1Malaysia, presiden Umno menjauhi rujukan kepada partinya atau gabungan
pemerintah tetapi memberi tumpuan kepada pengundi kali pertama dengan meminta
mereka untuk “Jom Bertindak Sekarang” dengan mendaftar untuk mendapatkan kit
tindakan.
“Kit Tindakan” |
“Kit
Tindakan ini mempunyai peralatan asas untuk anda bersiap sedia bagi Pilihan
Raya Umum akan datang. Sebuah buku berguna menyediakan tip-tip mudah tentang
bagaimana mengundi bagi pengundi kali pertama dan mereka yang ingin menyegarkan
memori mereka, pin kolar, pen dan beberapa pelekat,” kata mesej di blog Najib.
Kit
terpampang dengan grafik “Jom Bertindak” dan baying orang biru dan merah dengan
orang merah muncul menjadi Najib, dan mesej di bawah yang mengatakan “Kami
menyokong Najib Razak”.
Kempen gaya
presiden Najib menjelang PRU13 selari dengan ucapan ala “State of Union” Selasa
lalu apabila beliau mengumumkan kad laporan pentadbirannya dan pencapaian di
bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan
(GTP).
Inisiatif
perdana menteri itu telah menyebabkan beliau lebih popular berbanding partinya
dan kerajaan, dengan tinjauan terbaru Merdeka Center menunjukkan kadar sokongan
terhadap Najib adalah 61 peratus bulan lepas turun sedikit dari 63 peratus pada
Disember.
Kedua-dua
kerajaan dan partinya hanya mendapat kelulusan di atas 40 peratus dalam
tinjauan sama, memperlihatkan pentingnya Najib dalam usaha BN untuk mendapatkan
kembali majoriti tradisi dua pertiga yang mereka hilang pada Pilihan Raya 2008.
Najib telah
mengatakan beliau mahu mendapatkan mandat peribadinya selepas mengumumkan kad
laporan akan tetapi beliau masih lagi belum membubarkan parlimen walaupun PRU
terakhir lebih lima tahun lalu pada 8 Mac, 2008.
Beliau dan
pemimpin parti komponen BN telah muktamadkan senarai calon-calon mereka bagi
222 kerusi parlimen dan 505 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk dimenangi pada
pilihan raya akan datang. Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada
2011.
Sumber BN
mengatakan, mesyuarat kabinet minggu ini yang dijalankan pada Rabu mungkin yang
terakhir dan Najib akan membubarkan parlimen seawal-awalnya pada hari ini atau
selewat-lewatnya pada Isnin depan.
Beliau
dijadualkan untuk menamatkan jelajah Janji Diteapti esok di kerusi parlimen
Pekan dimana ribuan dijangka menyambutnya.
PRU
berkemungkinan besar berlangsung pada pertengahan April dimana 13.3 juta
pengundi layak untuk membung undi mereka. Kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat (PR)
telah melahirkan keyakinan mereka untuk menang pilihan raya akan tetapi
penganalisis mengatakan gabungan pemerintah itu akan berjaya mempertahankan
Putrajaya. – The Malaysian Insider