SERDANG 25
Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Persekutuan Persatuan-persatuan
Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana pertubuhan itu sering
menuduh segala pembaharuan pendidikan oleh kerajaan seperti Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan untuk merosakkan bahasa Cina dan
masa depan sekolah Cina.
Timbalan
Perdana Menteri berkata, sejak negara merdeka 55 tahun yang lalu, kerajaan
tidak pernah meminggirkan pendidikan sekolah Cina apatah lagi mahu merosakkan
bahasa Cina sebaliknya segala kekurangan yang ada segera ditampung bagi
memastikan pendidikan tersebut tidak terjejas.
Sehubungan
itu beliau berkata, Dong Zong dalam isu tersebut lebih bersifat politik dan
bukannya menjadi pejuang pendidikan seperti mana yang dilaung-laungkan oleh
mereka.
''Begitu
juga dengan pendidikan Tamil. Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa pelan
pendidikan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak tidak langsung menyebut untuk meminggirkan sekolah yang menggunakan
bahasa Cina atau Tamil, malah kedua-dua aliran ini akan terus kekal seperti
mana dalam laporan itu.
''Jadi apa
maknanya. Ini bermakna aliran sekolah Cina dan Tamil di peringkat sekolah
rendah akan terus kekal diajar, kekal sampai bila-bila. Mungkin selagi ada
bulan, bintang dan matahari," katanya.
Beliau
mengulas tindakan terkini Dong Zong yang menganjurkan perhimpunan hari ini bagi
membantah perlaksanaan PPPM yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dengan
kebimbangan sekolah vernakular akan diketepikan.
Menyentuh
isu sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan kerajaaan tidak
pernah ada niat jahat atau niat terselindung setiap kali pelan pembangunan
pendidikan yang baru diperkenalkan apatah lagi bertujuan meminggirkan sekolah
Cina dan Tamil.
''Tidak ada
satu niat jahat atau tujuan terselindung yang sering dianggap oleh Dong Zong
terutama apabila kerajaan mahu membuat pembaharuan pendidikan. Mereka merasa
takut dengan beranggapan pelan untuk memajukan pendidikan negara dikatakan mahu
merosakkan bahasa Cina. Ini tanggapan yang amat salah.
''Kenyataan
Dong Zong ini tidak boleh dipertahankan. Mereka bercakap 'lentang-lentung' di
sana sini dan kemudian membuat tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional
(BN). Ini adalah tujuan politik, bukan pendidikan. Mengenai PPPM, semua rakyat
Malaysia sokong dan mengapa Dong Zong tidak sokong," ujarnya.
Beliau
berkata, hanya beberapa sahaja pertubuhan yang menyokong Dong Zong sebaliknya
lebih banyak pertubuhan tidak menyokongnya.
''Sebab
apa, sebab mereka (pertubuhan) tahu Dong Zong ada muslihat politik. Saya tiada
kepentingan politik tetapi saya melihat kepentingan pelajaran," katanya.
Dalam pada
itu, beliau berkata, kerajaan BN mengiktiraf sistem pendidikan Cina dan Tamil
dan sehingga kini kedua-dua aliran itu terus berjalan. –Utusan Online
KD: Ada saja yang tak kena dengan Dong
Zong ini..