Showing posts with label Dong Zong. Show all posts
Showing posts with label Dong Zong. Show all posts

Monday, November 26, 2012

TPM TEMPELAK DONG ZONG

SERDANG 25 Nov. - Tan Sri Muhyiddin Yassin menempelak Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) kerana pertubuhan itu sering menuduh segala pembaharuan pendidikan oleh kerajaan seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bertujuan untuk merosakkan bahasa Cina dan masa depan sekolah Cina.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak negara merdeka 55 tahun yang lalu, kerajaan tidak pernah meminggirkan pendidikan sekolah Cina apatah lagi mahu merosakkan bahasa Cina sebaliknya segala kekurangan yang ada segera ditampung bagi memastikan pendidikan tersebut tidak terjejas.

Sehubungan itu beliau berkata, Dong Zong dalam isu tersebut lebih bersifat politik dan bukannya menjadi pejuang pendidikan seperti mana yang dilaung-laungkan oleh mereka.

''Begitu juga dengan pendidikan Tamil. Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa pelan pendidikan yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak langsung menyebut untuk meminggirkan sekolah yang menggunakan bahasa Cina atau Tamil, malah kedua-dua aliran ini akan terus kekal seperti mana dalam laporan itu.

''Jadi apa maknanya. Ini bermakna aliran sekolah Cina dan Tamil di peringkat sekolah rendah akan terus kekal diajar, kekal sampai bila-bila. Mungkin selagi ada bulan, bintang dan matahari," katanya.

Beliau mengulas tindakan terkini Dong Zong yang menganjurkan perhimpunan hari ini bagi membantah perlaksanaan PPPM yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dengan kebimbangan sekolah vernakular akan diketepikan.

Menyentuh isu sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan kerajaaan tidak pernah ada niat jahat atau niat terselindung setiap kali pelan pembangunan pendidikan yang baru diperkenalkan apatah lagi bertujuan meminggirkan sekolah Cina dan Tamil.

''Tidak ada satu niat jahat atau tujuan terselindung yang sering dianggap oleh Dong Zong terutama apabila kerajaan mahu membuat pembaharuan pendidikan. Mereka merasa takut dengan beranggapan pelan untuk memajukan pendidikan negara dikatakan mahu merosakkan bahasa Cina. Ini tanggapan yang amat salah.

''Kenyataan Dong Zong ini tidak boleh dipertahankan. Mereka bercakap 'lentang-lentung' di sana sini dan kemudian membuat tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Ini adalah tujuan politik, bukan pendidikan. Mengenai PPPM, semua rakyat Malaysia sokong dan mengapa Dong Zong tidak sokong," ujarnya.

Beliau berkata, hanya beberapa sahaja pertubuhan yang menyokong Dong Zong sebaliknya lebih banyak pertubuhan tidak menyokongnya.

''Sebab apa, sebab mereka (pertubuhan) tahu Dong Zong ada muslihat politik. Saya tiada kepentingan politik tetapi saya melihat kepentingan pelajaran," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan BN mengiktiraf sistem pendidikan Cina dan Tamil dan sehingga kini kedua-dua aliran itu terus berjalan. –Utusan Online

KD: Ada saja yang tak kena dengan Dong Zong ini..

Thursday, August 2, 2012

ISU DONG ZONG


Dong Zong 'cacing naik ke mata'

KUALA TERENGGANU 31 Julai - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menyifatkan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) seperti 'cacing yang sudah naik ke mata' apabila mengugut kerajaan bagi penubuhan sekolah tinggi bebas Cina.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad menegaskan, tindakan Dong Zong yang biadab itu seolah-olah mencabar kerajaan demi kepentingan mereka dan politik pembangkang.

Beliau berkata, persatuan terbabit jelas cuba mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan melampau ketika kerajaan sedang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Gagasan memandang serius tuntutan Dong Zong ini dan kami memberi amaran supaya jangan biadab dan kurang ajar. Jangan melampau dengan membuat tuntutan yang bukan-bukan.

"Kami juga berhak menuntut pelbagai perkara daripada kerajaan demi kepentingan pelajar Melayu, tetapi tidak berbuat demikian kerana bertolak ansur demi kepentingan pelbagai kaum di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Dong Zong menjadikan isu pendidikan Cina sebagai modal politik dengan mengugut menyokong pembangkang jika kerajaan tidak membenarkan pembinaan sekolah tinggi bebas Cina meskipun sekolah jenis itu gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini.

Semalam, Majlis Perundingan Melayu (MPM) turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan persatuan tersebut yang sanggup mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka.

Syed Anuar berkata, Gagasan berharap kerajaan tidak berkompromi dan tidak sekali-kali tunduk kepada sebarang desakan atau ugutan Dong Zong berhubung isu berkenaan.

"Gagasan berharap kerajaan tidak melayan tuntutan yang dibuat Dong Zong dan kita juga ingatkan kepada mana-mana pihak jangan cabar kesabaran warga pendidik Melayu," ujarnya.



GPMS persoal niat sebenar Dong Zong

KUALA LUMPUR 31 Julai - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempersoalkan niat sebenar Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang mengugut kerajaan agar memenuhi tuntutan mereka supaya dibina sekolah tinggi bebas Cina di Kuantan baru-baru ini.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim berkata, ini kerana kerajaan sebelum ini telah memberi bermacam-macam faedah dan bantuan kepada semua aspek pendidikan di negara ini tanpa mengira kaum dan latar belakang terutama sekali bagi pendidikan masyarakat Cina.

"Namun, ia seperti tidak pernah cukup bagi mereka (Dong Zong). Sudah diberi betis mahu paha. Apa niat mereka sebenarnya? Apa yang kita lihat sikap ini sudah menjadi permainan persatuan ini apabila menjelang pilihan raya umum," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Biro Politik dan Governans Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail yang mengutuk keras tindakan Dong Zong yang berterusan cuba mempolitikkan isu pendidikan Cina demi kepentingan pembangkang.

Dong Zong sebelum ini mengugut untuk menyokong pembangkang sekiranya kerajaan tidak membenarkan pembinaan sekolah tinggi bebas Cina meskipun sekolah jenis tersebut gagal mematuhi peraturan asas sekolah di negara ini.

Jais berkata, Dong Zong kini dilihat lebih gemar mengambil kesempatan terhadap kerajaan dengan membuat tuntutan melampaui batas sambil menggunakan alasan ia adalah demi kepentingan pendidikan kaum Cina tanpa disedari permainan persatuan itu sebenarnya mempunyai niat dan tujuan yang lain.

"Mereka cuba mengaut keuntungan politik di saat menjelang pilihan raya umum. Sikap ini memang sudah lama kita perasan malah kita sedang perhatikan sikap mereka ini.

"Tetapi kita profesional dan tidak mudah melenting apabila mereka membuat tuntutan yang tidak munasabah kepada kerajaan," katanya.

Katanya, GPMS turut memberi amaran keras terhadap Dong Zong supaya tidak berterusan bermain api dengan menimbulkan tuntutan-tuntutan yang tidak masuk akal terhadap kerajaan demi kepentingan diri sendiri.

"Jangan cuba mencabar dan mengugut kerajaan. Mereka ini perlu belajar bersyukur dengan apa yang diperolehi dan apa yang telah kerajaan lakukan selama ini," katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Pelajaran supaya tidak melayan sepenuhnya tuntutan Dong Zong itu sebaliknya meneruskan perancangan serta fokus bagi memperbaiki sistem pendidikan di negara ini secara keseluruhannya.

KD: Sebelum ini KD pernah mendengar isu Dong Zong ini, tetapi tidak faham situasi sebenarnya. Tambahan pula isu ini kebanyakannya dilaporkan dalam akhbar Cina. Tetapi sejak dua menjak ini, banyak pula laporan berkaitannya disiarkan dalam akhbar Melayu. Kini, baru KD faham, isu sebenarnya ialah 'tuntutan penubuhan sekolah persendirian Cina'. Nampak isu ini mudah sahaja. Tetapi apabila terbit kesangsian dan pertikaian, maka ia boleh dianggap sesuatu yang serius.  Sejauh mana serius isu ini. KD akan cuba mengikutinya selepas ini.