SHAH ALAM: Mengakui
penyaluran dana asing ke negara ini sudah wujud sejak zaman Perang Dingin,
bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bagaimanapun menegaskan
perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks yang berbeza.
Menurut beliau, bentuk
bantuan dari luar negara yang diterima ketika zaman Perang Dingin tidak
dianggap sebagai satu kesalahan kerana ia lebih bersifat kepada perjuangan
untuk menyelamatkan negara daripada cengkaman komunis.
Bantuan yang diterima pula
katanya adalah lebih kepada memberi peluang kepada anak tempatan untuk diberi
latihan di dalam bidang-bidang tertentu di Eropah dan Amerika Syarikat, sebelum
diserap bekerja di negara-negara tersebut.
“Tapi semuanya masa itu
bekerja dan mengetahui mereka adalah alat kepada Amerika, kuasa besar barat,
untuk memerangi komunis.
“Jadi pada masa itu tidak
menjadi satu kesalahan kerana adalah sesuai dengan dasar negara, dan sesuai
dengan perjuangan untuk menyelamatkan negara dan juga kepentingan kebebasan
dunia,” kata beliau.
Namun begitu tegas veteran
Umno ini, situasi hari ini sudah jauh berubah apabila penyaluran dana asing di
negara ini dilihat lebih bersifat subversif.
Berpendapat ianya ‘subversif
dalam bentuk baru’, objektif sebenar kemasukan penaja-penaja asing ke negara
ini dengan bermodalkan hak asasi manusia katanya sebenarnya adalah untuk
‘menjajah’ kedaulatan negara.
“Jadi itulah keadaan yang
ada sekarang yang dulu dianggap bantuan kepada kita tapi sekarang menjadi
sesuatu yang merbahaya, yang merupakan satu anasir subversif dalam bentuk yang
baru.
“Kalau dulu kita berjaya
menentang subversif komunis, tapi keadaan akan menjadi sukar dalam keadaan kita
berjuang menentang ‘a new element of subversive’ kerana ia didalangi dan
didokong dan dibantu oleh orang yang membantu kita dulu,” tegas beliau.
Menurutnya lagi,
kegiatan-kegiatan sebegini sekiranya tidak dibendung dari sekarang akan
mengakibatkan kesan yang negatif kepada negara.
Malaysia katanya akan
kehilangan identiti tersendiri sebaliknya akan menjadi alat kepada kuasa besar
seperti Amerika Syarikat.
Dan tanda-tanda ke arahnya
menurut Tokoh Wartawan Negara ini semakin jelas dengan Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim, serta sesetengah portal berita yang dakwa beliau mendapat
tajaan dari luar negara, dilihat semakin agresif memainkan peranannya untuk
menjatuhkan kerajaan.
“Kesannya ia mungkin akan
menjatuhkan kerajaan, menukar pemikiran rakyat, menghilangkan nilai-nilai diri
kita sendiri dan akhirnya kita akan tidak mempunyai identiti sendiri dan kita
hanya menjadi alat Amerika.
“Elemennya ialah akan
menyebabkan kita tidak bebas, dia mencampuri politik kita dan kebebasan
kemerdekaan kita bukan ditentukan oleh kita sendiri, tapi kuasa barat iaitu
Amerika.
“Sekarang yang menjadi
alatnya adalah macam Anwar, jelaslah dia bagi bantuan kepada Anwar, kepada
semualah yang mana yang link (berkaitan) seperti dengan media (alternatif),
dengan politician (ahli politik), parti pembangkang, untuk menjatuhkan kerajaan
yang masih mempertahankan kemerdekaan sendiri, wawasan sendiri,” ujar bekas
ahli Parlimen Sungai Petani ini.
Selain pihak berkuasa,
rakyat sendiri katanya perlu memainkan peranan mereka untuk mengelakkan campurtangan
asing berleluasa di negara ini dengan memberikan sokongan serta memperkuatkan
kerajaan yang sedia ada.
“(Campurtangan asing boleh)
Diatasi dengan kita memberikan sokongan kepada kerajaan, memperkuatkan kerajaan
yang ada sekarang. Kalau kerajaan lemah, kita tidak boleh atasi perkara ini,”
katanya.–AntaraPos.com