PARIT -
Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan pengeluaran saman terhadap pesalah jalan
raya yang dikesan melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dihentikan
sementara sehingga pengguna benar-benar bersedia dengan sistem tersebut.
Exco
Pergerakan Pemuda Umno Mohd Hisamuddin Yahaya berkata idea penggunaan AES
dilihat baik dan mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, namun
pelaksanaannya tidak dirancang dengan baik.
Katanya
Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya
menjalankan kempen secara berterusan terlebih dahulu bagi memastikan orang
ramai benar-benar faham dengan hasrat murni kerajaan bagi mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya.
Bercakap
kepada pemberita selepas Program Pemuda Prihatin Turun Padang di Kampung
Sepakat Jaya, Titi Gantung dekat sini hari ini, beliau menyarankan pihak kementerian
supaya menggunakan sepenuhnya radio, televisyen serta media cetak untuk
menjalankan kempen itu.
Selain itu,
katanya pihak berkuasa juga perlu meletakkan tanda amaran terlebih dahulu,
contohnya kira-kira satu kilometer dari tempat AES dipasang dan beberapa lagi
papan tanda peringatan sebelum sampai ke lokasi berkenaan.
"Jika
pengguna masih berdegil dan memandu laju, baru lah disaman. Orang ramai pun
tidak akan marah lagi dengan kerajaan.
"Biar
ia dijalankan dalam tempoh percubaan. Mungkin perlu ambil masa beberapa bulan.
Buat masa ini hentikan dulu pengeluaran saman," katanya.
Mohd
Hisamuddin berkata bagi meyakinkan lagi pengguna, JPJ juga diminta supaya
mempamerkan statistik kadar kemalangan jalan raya di tempat peralatan AES itu
dipasang.
"Jadi
pengguna tidak boleh mempertikaikan lagi pemasangan AES di kawasan ia
ditempatkan," katanya. - Bernama