Seremban: Guru, guru besar dan pentadbir cemerlang yang
memiliki ijazah sarjana muda akan dilantik terus ke gred DG41 tanpa temuduga
mulai tahun depan.
Kumpulan itu yang memperoleh ijazah melalui pengajian separuh
masa atau pengajian jarak jauh (PJJ) boleh memohon terus kepada Suruhanjaya
Perkhidmatan Pelajaran SPP untuk dikecualikan daripada ditemuduga.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata
keputusan SPP itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan
latihan dalam perkhidmatan kumpulan pendidik di negara ini.
Cepat
proses kenaikan pangkat
“Langkah ini dibuat bagi mempercepatkan proses kenaikan gred
kerana mereka terbukti cemerlang,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam
ucapan perasmiannya pada Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini, semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, SPP turut
mengecualikan temu duga bagi pelantikan guru baru yang cemerlang dalam akademik
dan ikhtisas dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan institusi
pengajian tinggi (IPT).
Katanya, SPP mula mengenal pasti calon terbabit ketika
pemilihan awal bakal guru.
Sehubungan itu, katanya semakan semula sistem pelajaran dan
organisasi IPGM dan IPT perlu dibuat bagi melahirkan warga pendidik berkualiti
dan cemerlang.
2,960 orang
kelompok pertama
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kajian
Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKPT) mendapati hanya 50 peratus pengajian
disampaikan dengan berkesan atau memuaskan.
Bulan lalu, beliau mengumumkan calon guru yang bakal dipilih
ialah 30 peratus di kalangan mereka dengan keputusan 9A dan berminat dalam
bidang perguruan.
Beliau berkata, seramai 2,960 orang kelompok pertama graduan
IPGM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan sebelum
1 Julai, ditempatkan sementara oleh Kementerian Pelajaran mulai 16 Oktober.
Katanya, calon berijazah selepas Jun seramai 7,755, perlu
mengemukakan permohonan kepada SPP mulai 1 November secara online, melalui
portal SPP (untuk calon IPGM) atau JobsMalaysia (calon IPTA). – BHarian
KD: Pastinya ini
adalah berita baik yang ditunggu-tunggu oleh semua guru berijazah. Diharapkan
semoga selepas ini, perjawatan lain juga turut diberi perhatin serta dinaiktarafkan.
No comments:
Post a Comment