PETALING JAYA: Agama Islam tidak seharusnya dijadikan alat
untuk kepentingan politik di kalangan umat Islam, apatah lagi bukan Islam.
Pemangku Raja Perak, Dr Raja Nazrin Shah, bertitah
sensitiviti agama tidak mengizinkan perkara berkaitan agama diperdebat secara
terbuka kerana yang kurang arif berkemungkinan terlajak kata sehingga memetik
contoh yang jahil.
Titah baginda, perbuatan melanggar sempadan agama lain secara
keterlaluan dan terbuka dibimbangi mencetuskan tragedi buruk dan bagi
mengelaknya, perbuatan berkenaan perlu dihentikan segera.
“Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam
kelihatan semakin berani dilanggar, malah ada di kalangan bukan Islam yang
semakin lantang mencabar perkara berkaitan Islam melalui ucapan bernada
mempersenda syariat, memperkecilkan akidah dan merendah-rendahkan Islam,”
titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis Syarahan Perdana Budaya
bertema ‘Institusi Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa’ anjuran
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, di Damansara, di sini semalam. Hadir
sama, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais
Yatim.
Belajar
daripada sejarah
Raja Nazrin bertitah, perbuatan mempersenda Islam melanggar
sempadan, adat resam beragama secara aman dan damai, sekali gus menghiris hati
umat Islam.
Titah baginda, tatasusila menghormati agama lain, tidak
memperkecilkan agama lain dan tidak mencampuri agama lain wajib dipatuhi,
selaras ayat tiga hingga enam Surah Al-Kafirun.
“Perkara berkaitan Islam terletak di bawah bidang kuasa
Raja-Raja dan kuasa Raja sebagai ketua agama wajib dihormati.
Pintu istana
sentiasa terbuka untuk membolehkan siapa juga berhasrat menyembahkan pandangan
melalui perbincangan secara tertutup tanpa perlu diuar-uarkan,” titahnya.
Raja Nazrin juga mahu rakyat belajar daripada sejarah supaya
peristiwa pahit di luar jangkaan pada 13 Mei iaitu susulan Pilihan Raya Umum
pada 1969 tidak berulang. - BHarian
No comments:
Post a Comment