BOIKOT ANGKAT SUMPAH PARLIMEN: TELATAH PEMBANGKANG MENGADA-NGADA
Bosan dan
mengada-ngada…
Mungkin itulah
istilah yang paling tepat untuk menggambarkan sikap pakatan pembangkang yang
terus mahu berpolitik apabila berhasrat memulau majlis angkat sumpah anggota
Parlimen pada 24 Jun ini.
Kelmarin,
hanya seorang sahaja ahli Parlimen pembangkang yang hadir ke taklimat khas yang
dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Tanpa
mempedulikan kepentingan majlis berkenaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan
PAS membuat keputusan “memboikotnya”.
Persoalannya,
jika benar pakatan pembangkang berpegang kepada dakyah songsang mereka bahawa
berlaku penipuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, kenapakah kerajaan
PKR di Selangor, Kerajaan DAP di Pulau Pinang dan Kerajaan PASs di Kelantan
mengangkat sumpah? Apa bezanya perjalanan proses pilihan raya di ketiga-tiga
negeri berkenaan berbanding negeri-negeri lain termasuk di kerusi-kerusi
Parlimen?
Apakah yang
mengendalikan pilihan raya itu adalah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang
berlainan? Sudah pasti tidak!
Jelaslah apa
yang dilakukan oleh pakatan pembangkang dalam soal pengundian bagi kerusi
Parlimen bermotif politik semata-mata. Mereka tidak dapat menerima hakikat
impian mereka untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam PRU lalu
gagal apabila hanya memperolehi 89 kerusi sahaja berbanding BN 133 kerusi.
Adalah sesuatu
yang malang, apabila pembangkang masih belum mahu berhenti daripada berpolitik.
Mereka tidak berusaha untuk menjadi pembangkang yang baik dan bertindak sebagai
ejen check and balance kepada kerajaan, sebaliknya mahu merebut kuasa
semata-mata.
Bagi
pembangkang, kekalahan mereka di dalam pilihan raya bukan kerana keputusan yang
dibuat oleh rakyat tetapi kononnya penipuan oleh BN, tetapi apa yang anehnya,
mereka juga yang “terhegeh-hegeh” paling awal menubuhkan kerajaan di
negeri-negeri yang mereka menangi.
Biar pun apa
juga hujah yang hendak dikeluarkan oleh pembangkang apa yang pasti sudah
terbukti kini mereka cuba terus memancing emosi rakyat untuk bangkit menentang
kerajaan. Mereka menolak sama sekali sebarang seruan agar mereka bermuhasabah
kenapakah mereka masih gagal menumbangkan kerajaan BN.
Apa yang
pembangkang tahu ialah kekalahan mereka di peringkat Parlimen kononnya
disebabkan oleh penipuan BN. Kalau betullah BN hendak melakukan penipuan sudah
pasti parti itu tidak akan membiarkan pembangkang kekal menguasai Selangor,
Pulau Pinang dan Kelantan serta memastikan BN terus gagal memerintah negara
dengan majoriti dua pertiga.
Justeru
dakwaan pembangkang dalam soal penipuan ini hanyalah fitnah dan tohmahan
semata-mata. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa kerjasama carca marba
mereka tidak memungkinkan rakyat menggadaikan masa depan negara kepada puak
seumpama itu.
Sebab itulah kita
menyaksikan bagaimana mereka tidak henti-henti mahu mengadakan perhimpunan
haram termasuklah pada 22 Jun ini di Kuala Lumpur, biar pun tidak mendapat
kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berbuat demikian di Padang
Merbok.
Pembangkang tahu
mengikut Akta Perhimpunan Aman, kelulusan DBKL adalah diperlukan tetapi mereka
tetap mahu meneruskan hasrat mereka. Alasan kononnya perhimpunan itu adalah
satu perhimpunan aman adalah alasan semata-mata.
Mereka akan
sengaja melanggar undang-undang supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Apabila berlaku pancutan air dan tembakan gas pemedih mata, maka tercapai
impian mereka untuk merosakkan imej negara di mata dunia.
Kalau betullah
pembangkang begitu yakin mereka ditipu, maka kemukakan petisyen di mahkamah,
biar mahkamah tentukan, kenapa perlu menyeret rakyat terutamanya penyokong
tegar mereka ke jalanan? Kalau yakin sangat ada bukti-bukti kukuh yang akan
menyokong petisyen mereka maka serah sahaja kepada mahkamah.
Tetapi
masalahnya, pembangkang tidak ada bukti kukuh, mereka hanya bijak menabur
fitnah, melemparkan tuduhan dan mencipta tohmahan bagi memburuk-burukkan
kerajaan BN namun tidak berani berhadapan dengan fakta sebenar.
Hakikatnya,
penulis agak teruja untuk mengetahui sejauh manakah 'keberanian' pembangkang
untuk memulau majlis angkat sumpah pada 24 Jun ini. Ia memandangkan di dalam
pembangkang sendiri berbelah bahagi.
Difahamkan
yang beria-ia benar hendak memulaukan majlis tersebut ialah PKR — sebuah parti
yang pemimpin-pemimpinnya benar-benar kecewa kerana Penasihat parti tersebut,
Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal ditabalkan menjadi Perdana Menteri.
Biar pun hanya
mempunyai 28 kerusi di Parlimen namun PKR kini seolah-olah menjadi “taiko” dalam
pakatan pembangkang apabila cuba mempengaruhi DAP dan PAS supaya turut sama
tidak mengangkat sumpah Ahli Parlimen.
Namun begitu
kita jangan terkejut jika selepas ini PKR membuat keputusan untuk menghadiri
majlis angkat sumpah tersebut.
Jika mereka berbuat
demikian, macam-macam alasan yang akan mereka berikan, maklumlah pembangkang
sememangnya dikenali sebagai puak yang bijak mencipta isu, pandai mencari
alasan dan terkenal berhujah.
Dan dalam masa
yang sama, kita perlu bersedia untuk melihat bagaimana Dewan Rakyat sekali lagi
mungkin akan dicemari dengan telatah-telatah memualkan dan mengada-ngada
terutamanya oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang yang kali pertama menduduki
jawatan itu.
Kita tidak
perlu terkejut kalau itu berlaku kerana mereka tidak menghadiri majlis taklimat
yang bertujuan membolehkan Ahli Parlimen mengetahui maklumat terkini mengenai
peraturan serta garis panduan baharu berhubung hal ehwal berkaitan perjalanan
Parlimen.
Apa pun buat
masa ini, marilah kita terus menyaksikan “sarkas politik” yang terus dimainkan
oleh pakatan pembangkang yang ternyata semakin “meroyan” kerana gagal menawan
Putrajaya dan pemimpin mereka gagal menjadi Perdana Menteri.
Kita percaya
majoriti rakyat berpendapat masa untuk berpolitik sudah tamat, sekarang adalah
masa bersama-sama membangunkan negara. Kalau pembangkang mahu berpolitik
tunggulah lima tahun lagi apabila Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.
Tetapi kita
yakin pakatan pembangkang yang ada di negara ini “tidaklah sematang” itu.
Mereka hanya mahu berpolitik sepanjang masa dengan matlamat untuk berebut
kuasa.
Kalau benar
mereka matang berpolitik sudah tentulah mereka akan menerima keputusan PRU13
dengan hati terbuka dan bukannya membuat tohmahan yang bukan-bukan apabila
kalah tetapi dalam masa yang sama bersedia memegang kuasa di kawasan yang
mereka kalah dalam satu pilihan raya yang sama.
Inilah kualiti
pembangkang yang ada di negara kita, kehadiran mereka dilihat lebih banyak
bermatlamat memburu kuasa dan bukannya bersedia menyumbang membangunkan negara
selepas pilihan raya.
Namun
terserahlah kepada pembangkang untuk terus berpolitik kerana berdasarkan apa
yang kita saksikan, rakyat negara ini sudah tidak mahu lagi melayan “kegilaan
mereka”. — Zulkiflee Bakar (utusan.com.my)