123 PAWAGAM MULA SIAR LAGU 'NEGARAKU'
SEBELUM TAYANGAN FILEM
KUALA LUMPUR: Sebanyak 123 pawagam di seluruh negara mula menyiarkan lagu
Negaraku pada Rabu sebelum tayangan filem sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara
ke-56 pada 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata, siaran lagu berkenaan akan dilakukan selama seminggu bermula 28 Ogos
sehingga 3 September depan.
"Hari ini (Rabu) hari yang pertama. Ada tempat yang sudah mula. Dan
saya akan pastikan untuk hari esok dan seterusnya tak ada masalah kerana ia
merupakan suatu yang baru, ada beberapa tempat di seluruh negara yang belum
menerima CD (cakera padat) lagu untuk ditayangkan.
"Ini adalah masalah di peringkat awal. Kita akan perhatikan perkara
ini supaya ia tidak memberi masalah pada hari esok dan seterusnya, serta
masa-masa yang akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelaksanaan tayangan
promo, treler dan nyanyian lagu Negaraku sempena Hari Kemerdekaan negara ke-56
di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), Pavilion di sini, Rabu.
Tayangan dimulakan dengan promo yang bertajuk "Tanah Tumpahnya
Darahku" dengan tempoh 2 minit 40 saat diikuti "Pesanan
Terakhir" (1 minit 33 saat), treler dan nyanyian lagu Negaraku (1 minit 42
saat).
Ditanya sekiranya terdapat pawagam yang tidak menyiarkan lagu itu dalam
tempoh berkenaan, Shabery berkata, pihaknya akan membuat pemantauan
mengenainya.
"Beberapa pawagam tidak mainkan hari ini atas alasan tidak lagi
mendapat CD dan format untuk disesuaikan dengan tempat masing-masing. Ini
perkara teknikal yang perlu saya lihat," katanya.
Menurut Shabery, beliau meminta para penonton di pawagam untuk memberikan
pandangan mengenai penayangan lagu dan treler tersebut.
"Tanya pendapat mereka. Kalau mereka rasa tidak baik, bantu kami
untuk memperbaiki di masa depan.
"Apakah ia akan dibuat lagi pada masa akan datang? Kita akan
mendapatkan pandangan orang ramai tentang perkara ini. Saya begitu
terbuka," katanya.
Majlis tayangan khas lagu Negaraku pada Rabu disempurnakan oleh Shabery
sebelum tayangan filem 'The Conjuring' arahan anak kelahiran Malaysia, James
Wan. -mStar