PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan kejadian mengibar
bendera baharu sebagai ganti Jalur Gemilang pada Khamis lepas sebagai perbuatan
yang mencabar kedaulatan negara.
Ketua Setiausaha kementerian Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata jika
tidak dibendung, perbuatan sedemikian boleh menyemai rasa benci dalam kalangan
masyarakat sekali gus menjejaskan kepentingan awam.
"Masyarakat perlu faham apa yang berlaku adalah bertentangan dengan
norma masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan, di sini, Selasa.
Beliau berkata KDN komited untuk memastikan tindakan tegas dikenakan ke
atas mereka yang terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Perbuatan mengibar bendera baharu yang dikatakan 'pengganti' Jalur
Gemilang itu dilakukan segelintir peserta Himpunan Janji Bersih di Dataran
Merdeka ketika malam ambang Hari Kemerdekaan ke-55 negara.
Sementara itu, di KUANTAN, beberapa badan bukan kerajaan mengutuk
perbuatan tersebut dan membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan segera
bagi mengesan pihak yang bertanggungjawab.
Mereka terdiri daripada Wira Perkasa Pahang, Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung (GPMS), Kelab Belia 4B, Majlis Belia Daerah Kuantan dan Kelab Bell
Belia Tamil Kuantan (KBBT).
Ketua Wira Perkasa Pahang Ezad Zainal berkata tindakan mengibar bendera
baharu itu seolah cubaan menghidupkan kembali puak berhaluan kiri yang mahu
menukar negara ini kepada kerajaan republik pada 1947.
"Ini bukan soal politik tetapi soal cintakan negara. Bendera yang
mereka pamerkan itu seakan sama dengan bendera yang dikibarkan oleh puak
berhaluan kiri dahulu antaranya MPAJA yang sinonim dengan komunisme,"
katanya kepada pemberita, di sini.
Pengerusi KBBT M. Thiagaselan pula berkata mereka yang terlibat mungkin
dijadikan boneka oleh sesetengah pihak.
"Polis perlu menjalankan penyiasatan yang menyeluruh dan mengenal
pasti siapa dalang sebenar di sebalik kejadian berkenaan dan mereka inilah yang
sewajarnya dikenakan tindakan seperti dilucutkan kerakyatan," katanya. –BERNAMA/MStar