AKTA HASUTAN SUDAH
TIDAK RELEVAN - AMBIGA
KUALA LUMPUR - Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S.Ambiga mendakwa
penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim
merupakan satu pelanggaran terhadap sistem demokrasi di negara ini susulan akta
itu dalam proses untuk dimansuhkan.
Beliau yang ditemui di luar kamar Mahkamah Sesyen Jenayah 1
mendakwa pertuduhan Akta Hasutan terhadap Adam Adli itu juga dilihat sebagai
pendakwaan terpilih, semata-mata mahu menghukum pihak tertentu sahaja.
"Undang-undang itu tidak relevan digunakan oleh sesiapa
dan tidak boleh mengenakan dakwaan kepada sesiapa pun.
"Jangan gunakan sistem keadilan jenayah dan
undang-undang ini dengan cara menghukum satu atau dua orang saja.
"...sebab itu kami fikir ia adalah pendakwaan terpilih
sekaligus menyalahi sistem keadilan negara ini," katanya selepas
perbicaraan Adam Adli di Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, di sini, hari ini.
Adam Adli ditahan di Bangsar Utama pada 18 Mei lalu,
kira-kira pukul 3.15 petang di bawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan dan Seksyen
124 B Kanun Keseksaan.
Beliau direman selama lima hari bermula Ahad lalu dan
berakhir pada hari ini.
Adam Adli, 24, disiasat kerana ucapannya pada satu forum di
Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor 13 Mei lalu.
Penahanannya mendapat bantahan meluas di seluruh negara,
manakala nyalaan lilin dilakukan di hadapan Pusat Tahanan Jinjang, tempat Adam
Adli ditahan bermula hari pertama sehingga malam tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Serai, N.Surendran
berkata, pendakwaan terhadap Adam Adli itu tidak mempunyai asasnya sambil
menyifatkannya sebagai berat sebelah.
"Ia adalah satu dakwaan yang tidak mempunyai asas
langsung kerana banyak kes seperti kes bekas hakim Mahkamah Rayuan yang
mengeluarkan kenyataan yang serius dan boleh menimbulkan perpecahan kaum, tiada
tindakan diambil.
"Akta hasutan perdana menteri pun telah menyatakan akan
dimansuhkan tetapi PM Najib masih menggunakan akta hasutan yang zalim dan
jahat," tegasnya.
Oleh kerana itu, pihaknya akan memfailkan permohonan untuk
membatalkan dakwaan terhadap bekas mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) itu di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat.
Sumber: Sinar Harian