2014 TAHUN MENCABAR BAGI RAKYAT MALAYSIA
Tahun 2014 akan menjadi masa paling mencabar kepada
masyarakat terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana kerana harga
barang serta perkhidmatan di negara ini, naik serentak.
Selepas PRU13, kerajaan mengumumkan satu demi satu kenaikan
harga barang dan perkhidmatan, atau pengurangan serta pemansuhan subsidi,
berselang dalam tempoh sebulan, sejak September lalu.
Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan
petroleum RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34
sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowat sejam (KWJ),
semakan semula kadar gas, tambang LRT serta monorel dan kadar tol membabitkan
13 lebuh raya seolah-olah membentuk satu
siri kenaikan harga.
Semua pengumuman yang dilakukan secara ‘bertindan’ itu
membuatkan rakyat tidak senang duduk, malah ada pihak menganggapnya sebagai
peningkatan harga paling buruk sejak negara merdeka, 31 Ogos 1957.
Sejak harga minyak naik, 3 September lalu, masyarakat mula
berjimat kerana bahan api dianggap perkara penting kerana mempengaruhi
kehidupan seharian. Ini kerana, minyak adalah sumber asas bahan api penentu
indeks harga pengguna (IHP).
Apabila harga minyak naik, maka kos pengangkutan akan
bertambah termasuklah pengangkutan barangan. Secara tidak langsung, harga
barang keperluan seperti beras, ayam, sayur dan ikan melambung tinggi.
Di negara ini, kenaikan harga minyak sangat berkait terhadap
kenaikan harga barang lain; malah barangan yang tidak berhubung langsung dengan
minyak pun turut naik.
Belum reda dengan kenaikan itu, masyarakat semakin resah
apabila subsidi gula dimansuhkan, sebulan kemudian. Ada sesetengah pihak tidak
kisah dengan kenaikan tersebut sebab mereka jarang gunakan gula di rumah,
tetapi kesan rantaian terpaksa ditanggung pengguna kerana harga kuih muih dan
air di kedai ‘melangit’!
Bukan itu sahaja, pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik
bermula bulan depan semakin ‘menghimpit’ masyarakat kerana tentu mengundang
kesan rantaian lebih besar.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan akan
mengkaji semula tambang LRT dan monorel, pengangkutan awam alternatif pengguna
di bandar yang semakin menekan golongan miskin bandar.
Kadar tol juga dikhabarkan akan naik melibatkan 13 lebuh
raya di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid
Omar menyatakan, kenaikan kadar tol tidak dapat dielak kerana ia terkandung
dalam perjanjian konsesi.
Terbaru, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas
Sekolah Malaysia, Amali Munif mengumumkan untuk menaikkan tambang bas sekolah
sebanyak 40 peratus bermula 1 Januari depan jika SPAD tidak mengumumkan
kenaikan kadar baru, hujung tahun ini.
Semua kenaikan itu dikatakan berkaitan dengan program
rasionalisasi subsidi sejak dilaksanakan pada 2010, bagaikan membiarkan rakyat
terbeban untuk membeli barang keperluan dengan kadar pendapatan yang tidak
seiring dengan kenaikan harga barang.
Rakyat semakin ‘tersepit’ apabila kadar gaji tidak seiring dengan kenaikan
harga barang dan perkhidmatan di dalam negara.
Malah paling dikesalkan Laporan Ketua Audit Negara
mendedahkan berlaku pembaziran wang kerajaan.
Persoalannya, kenapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh
yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau
secara berperingkat?
Yang pasti, keperluan rakyat perlu diutamakan kerana
matlamat negara maju tidak bermakna jika masyarakat ‘menderita’ dengan kenaikan
harga barang dan perkhidmatan.
Sumber: Sinar Harian