Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Friday, December 27, 2013

HIMPUNAN TURUN ADA KAITAN DENGAN PAS
 
PAS dan PKR mendakwa kononnya parti itu tidak terbabit dalam pengajuran perhimpunan haram yang dirancang di ibu negara, 31 Disember ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu menjelaskan, mereka akan menggunakan cara demokrasi untuk menjatuhkan kerajaan bukannya melalui perhimpunan guling kerajaan yang dirancang pihak tertentu di Dataran Merdeka pada malam tahun baru ini.

Manakala, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, rancangan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) di tempat dan masa sama juga tiada kaitan dengan parti itu dan pakatan rakyat.

Cuma kata ahli Parlimen Pandan itu, tidak salah untuk rakyat termasuk pemimpin pakatan berkenaan menyertai perhimpunan yang dirancang terebut.

“Saya sokong… itu hak mereka dan ia perkara wajar,” katanya dalam sidang media, Khamis.

Malah katanya, bukan suatu kesalahan juga untuknya dan pemimpin pembangkang lain menyertai perhimpunan yang sama.

“Kalau ada masa, saya juga akan turut serta dan kami tidak melihat perhimpunan berkenaan sebagai suatu program atau rancangan politik,” katanya.

Seperti biasa, DAP hanya berdiam diri dan jarang menonjol dalam apa juga perhimpunan sebelum ini termasuk siri himpunan Bersih.

Selalunya, pemimpin PAS dan PKR lebih kehadapan dalam rancangan yang berselindung disebalik NGO tertentu.

Jika benar seperti kata Mat Sabu dan Rafizi, bahawa parti itu dan pakatan pembangkang tidak terlibat ianya sesuatu yang bagus.

Elok juga mereka atau pakatan rakyat keluarkan kenyataan bersama mengenai pendirian PAS, PKR dan DAP berhubung dua perhimpunan itu termasuk yang menghasut rakyat menggulingkan kerajaan.

Mat Sabu juga kena nafikan bahawa Azan Safar yang mengetuai rancangan TURUN tiada kaitan dengan PAS.

Beliau kena jelaskan kenapa Azan yang sudah ditahan polis sebelum ini kerap berada dalam majlis-majlis anjuran PAS.

Bnbbc.my pada Khamis sudah menyiarkan gambar Azan bersama pemimpin PAS dan banyak lagi gambar-gambar lain boleh menunjukkan beliau ada kaitan dengan PAS.

Mengenai Himpunan Guling Kerajaan pula, walaupun dalangnya masih sembunyi tangan, mereka ini lambat laun akan muncul jika himpunan itu jadi kenyataan.

Sindrom penafian ini sudah jadi darah daging pemimpin pembangkang tetapi bangkai gajah mustahil boleh dituutp dengan nyiru.

Manakala polis pula, dengan pimpinan baru termasuk menterinya perlu berbuat sesuatu terhadap lebih 400 aduan yang sudah dibuat di seluruh negara oleh pihak yang menentang perhimpunan haram itu.

Cukup-cukuplah pihak berkuasa berlembut dan tidak guna gubal undang-undang jika mereka yang jadi dalang bebas merancang perbuatan yang boleh menyukar rutin harian warga kota dan mereka yang mahu menyambut tahun baru dengan aman di Dataran Merdeka. 

Sumber: http://www.bnbbc.my/

Monday, December 16, 2013

SYIAH: PEMIMPIN PAS PERSOAL TINDAKAN KDN
SHAH ALAM - Jika kerajaan serius mengambil tindakan terhadap pengikut Syiah,  sewajarnya individu yang mengaku menganut ajaran itu yang perlu ditahan bukannya orang yang tidak mengaku ahli Syiah.

Demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pas, Idris Ahmad yang menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memaksa Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu supaya mengemukakan bukti bukan pengikut Syiah merupakan perkara yang tidak munasabah.

“Sebelum ini kerajaan sendiri pernah umumkan jumlah pengikut Syiah, dan ada individu yang mengaku sebagai pengikut ajaran Syiah, jadi kenapa mereka pula tidak ditahan?

“Tapi yang disibukkan sekarang adalah orang yang tidak mengaku Syiah, ini yang jadi bahan ketawa orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tindakan KDN yang ‘memburu’ Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu hanya untuk memberikan imej buruk kepada Pas.

“Ini semua ‘nasi tambah’ kepada isu lain untuk jatuhkan Pas. Sebelum ini isu agama, Melayu, raja dan sebagainya.

“Kalau betul KDN ada bukti, tolong dedahkan kerana kita juga mahu tahu bukti yang bagaimana untuk kaitkan Mat Sabu dengan Syiah, tidak perlu untuk beritahu bukti gred A, B atau pun C,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Sehubungan itu katanya, KDN perlu bertindak bukan hanya  bercakap memandangkan maklumat sudah pun ada untuk menahan pengikut Syiah.

“Kalau bukti sudah ada, buat apa suruh orang yang dituduh bertindak untuk menunjukkan bukti beliau tidak terlibat.

“Sekarang ini siapa yang mendakwa dan siapa pula yang didakwa. Jadi rasanya tidak perlu orang yang dituduh menampilkan bukti. Dakwa sahaja pihak yang mengikut  ajaran Syiah,” kata beliau.

Kelmarin, Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam  KDN, Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata, Mat Sabu perlu kemukakan bukti jika dirinya tidak terlibat fahaman Syiah.

Kata Zamihan, Mat Sabu perlu berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti KDN yang mengaitkannya dengan fahaman Syiah.

Pada 12 Disember lalu, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan ajaran Syiah antaranya pernah ‘berselawat’ sebagaimana penganut Syiah pada satu sesi ceramah Pas, di Arau, Perlis.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, December 10, 2013

PAS SUDAH PANTAU, TIADA AHLI TERLIBAT SYIAH

SHAH ALAM - Pas mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendedahkan bukti keterlibatan pemimpin parti itu yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah. 

Nik Abduh Nik Abdul AzizAhli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan bakal mendedahkan bukti didakwa hanya sekadar mainan mahu mendapatkan sokongan politik.

“Berdasarkan pemantauan, tiada seorang pemimpin Pas terlibat dengan Syiah dan kami telah pun membuat penafian berhubung perkara ini."Ia hanya spekulasi pihak luar yang khabar angin untuk mereka dan juga Umno sahaja. Jika KDN ada bukti, sila buktikan, jangan hanya bermain politik sebegini” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang akan mendedahkan beberapa bukti pemimpin Pas terlibat dalam fahaman Syiah dalam satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat.

"Jika beliau berjaya membuktikan ada pemimpin Pas yang mengikut fahaman Syiah, Pas tetap mempertikaikannya.

"Kami hanya akan mengambil tindakan apabila kami sendiri melihat serta mengkaji bukti tersebut," katanya.

Jelasnya, Pas tidak akan sewenang-wenangnya mempercayai bukti-bukti yang dibawa.

“Saya juga sudah sebut jika bukti itu datang daripada Umno maka kita tidak akan percaya,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan KDN yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Pas yang terlibat dalam fahaman Syiah, Nik Abduh menegaskan, ia adalah tindakan kerajaan dan Pas tiada kuasa untuk menghalangnya.

“Pas ada keputusan sendiri dan kerajaan ada kuasa mereka dan boleh buat apa sahaja. Selagi mana pemimpin Pas bersih, kita akan cuba pertahankan pemimpin kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, kerajaan perlu menuruti prosedur dalam memberikan bukti berhubung keterlibatan pemimpin Pas dalam fahaman Syiah.

"Jika (ia) tidak benar, ini bermakna Umno perlu bersedia menghadapi saman daripada Pas.

"Isu syiah merupakan isu politik antarabangsa yang telah dimainkan Umno dan akhirnya Pas menjadi mangsa keadaan. Jika Umno ada bukti, sila tunjukkan, kami tidak gentar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian