PRU13: ANWAR SEMAKIN PANIK
KUALA
LUMPUR - Bimbang akan mengalami kekalahan teruk dan memalukan pada Pilihan Raya
Umum Ke-13 Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperhebatkan pelbagai penipuan,
manipulasi, tohmahan serta fitnah terhadap Barisan Nasional (BN) dan agensi
kerajaan bagi mengelirukan rakyat.
Terbaharu,
Ketua Pembangkang itu mendakwa, UMNO dan BN akan mendalangi pembelian undi
secara besar-besaran membabitkan dana berbilion ringgit, menjelang hari
pembuangan undi 5 Mei ini tanpa mengemukakan sebarang bukti.
Tidak cukup
dengan itu, Anwar mereka cipta pula cerita karut kononnya, terdapat 15
penerbangan khas dari Kota Kinabalu ke semenanjung menggunakan pesawat jumbo jet
747 bagi membawa 'pengundi hantu' untuk mengundi calon-calon BN di Kuala Lumpur
dan Selangor.
Beliau juga
secara berterusan menipu kononnya sistem pilihan raya di negara ini tidak telus
walaupun pembangkang menawan lima negeri pada 2008 apabila menuduh Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) gagal membersih daftar pengundi, selain mempolitikkan isu
dakwat kekal.
Fitnah
dalam isu dakwat kekal umpamanya bertukar menjadi senjata makan tuan apabila
pegawai tentera, Mejar Azmee Bujang yang namanya dijaja pembangkang dalam siri
ceramah mereka tampil menafikan pembohongan tersebut serta mahu menyaman
pemimpin pakatan.
Bagi
beberapa pemimpin politik, sikap 'desperado' Anwar mudah difahami kerana Ketua
Pembangkang itu sedar bahawa sokongan majoriti rakyat kini berpihak kepada
Barisan Nasional (BN) berikutan rekod pentadbiran Perdana Menteri yang terbukti
berjaya.
Menurut
bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, beliau tidak hairan
melihat 'wayang' Anwar dalam meracuni fikiran rakyat kerana Ketua Pembangkang
itu hanya mempunyai baki beberapa hari sahaja lagi yang bakal menjadi penentu
kelangsungan hayat politiknya.
"Anwar
adalah manusia yang paling pentingkan diri dan tamakkan kuasa. Dia sanggup
berbuat apa sahaja malah saya tidak terkejut jika berlaku kejadian huru-hara
ala Arab Spring di Malaysia sehingga meragut nyawa rakyat demi memastikan
cita-cita politik beliau berjaya.
"Dia
hanya ada beberapa hari sahaja lagi dan saya percaya Anwar akan melakukan
pelbagai lagi perkara-perkara yang melangkaui batas hanya untuk bergelar
Perdana Menteri maka fitnah sebegini tidak menghairankan," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Dalam pada
itu, penyandang kerusi Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim
pula berkata, Anwar kini sangat terdesak kerana laporan terbaru mendedahkan
pakatan pembangkang akan hilang beberapa negeri ekoran sokongan rakyat beralih
kepada BN.
Katanya,
memang menjadi kepakaran Anwar dalam melemparkan fitnah dan menipu rakyat
sebagaimana pembohongan isu 16 September dan nasib yang menimpa masyarakat
India di Kampung Puah Pala, Pulau Pinang yang langsung tidak dipedulikan
selepas pakatan pembangkang menang di negeri tersebut
"Nasihat
saya kepada Anwar tunai dan jawab dulu isu Kampung Buah Pala sebelum sibuk
mencipta pelbagai fitnah baru. Rakyat Malaysia kini sudah matang dan tidak
mudah lagi tertipu dengan budaya politik fitnah sebegini kerana ternyata BN
lebih berjaya dalam memerintah," ujarnya.
Dalam pada
itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd.
Puad Zarkashi berkata, selaku pemimpin gagal, baik ketika berada bersama
kerajaan atau semasa menerajui pakatan pembangkang, modal politik Anwar adalah
dengan melemparkan fitnah.
"Datuk
Seri Najib Tun Razak walaupun baharu mengambil alih pemerintahan negara empat
tahun lalu berjaya dan diakui dunia. Rakyat juga merasai setiap transformasi
yang dibawa oleh beliau tetapi apa rekod Anwar? Semasa dalam BN, dia hampir
menjahanam ekonomi negara.
"Ketika
bersama pembangkang dan menjadi Penasihat Ekonomi Selangor apa yang berlaku?
Isu sampah yang tidak begitu rumit pun Anwar tidak boleh selesai, usahkan nak
bawa pelaburan besar ke Selangor," katanya.
Tambahnya,
langkah melemparkan fitnah, tohmahan serta menipu rakyat itu juga merupakan
taktik Anwar untuk mengalih isu pergolakan dalaman antara parti komponen dalam
pakatan pembangkang yang sehingga kini gagal diselesaikan Ketua Pembangkang
tersebut.
Sementara
itu, bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Senator Ezam Mohd.
Noor pula berkata, sebagai jaguh putar alam, fitnah adalah 'wirid' wajib Anwar
kerana tanpanya, hayat politik Ketua Pembangkang yang terpalit dengan isu moral
tidak akan mendapat perhatian.
"Sebab
itu, saya selalu berkata antara Ayah Pin (ketua ajaran sesat) dengan Anwar,
Anwar lebih bahaya. Anwar adalah 'Ayah Spin'. Malaysia boleh porak-peranda
kerana beliau manakala agama dan bangsa pun akan tergadai. Setiap kata-kata Anwar
merupakan pembohongan kepada rakyat.
"Lihat
sahaja pembohongan tentang 16 September. Terang-terang beliau tipu seluruh
rakyat Malaysia. Saya cukup mengenali Anwar, malah sehingga sanggup berkorban
masuk penjara, jadi rakyat mesti berhati-hati dengan setiap tutur kata
Anwar," katanya. –UTUSAN ONLINE