SEREMBAN -
Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) hari ini melucutkan Sandang Ketua
Imam Khalifah yang diberikan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2007 selepas mendapati perjuangan pemimpin itu
telah tersasar.
Pelucutan
itu diumumkan oleh Waris Keturunan Mutlak Mahaguru PSSGM, Datuk Siti Fadzilah
Meor Abd. Rahman dalam sidang akhbar khas di sini.
''Selepas
membuat kajian terperinci, kita dapati Anwar dengan jelas menyokong agenda
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan fahaman pluralisme agama
yang sangat bercanggah dengan perjuangan silat gayong termasuk mentaati Tuhan,
setia kepada raja dan pemimpin negara serta beramal baik.
''Saya
selaku anak dan waris mutlak seni silat gayong yang diasaskan oleh Mahaguru
Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dengan ini menarik
semula anugerah ini," katanya.
Yang turut
hadir, Timbalan Imam Khalifah PSSGM Negeri Sembilan, Datuk Dr. Ishak Hassan dan
Pengasas serta Pemegang Amanah Yayasan Beladiri Malaysia, Datuk Seri Dr.
Mohamad Fairus Khairuddin.
Siti
Fadzilah berkata, pihaknya tidak perlu menghantar sebarang surat pelucutan
kepada Anwar kerana tiada keperluan berbuat demikian kerana sudah mengumumkan
kepada media.
''Selain itu,
berdasarkan aku janji dalam pertubuhan PSSGM, sebarang pelakuan yang tidak
selari dengan perjuangan pertubuhan itu akan dilucutkan apa-apa anugerah yang
diberi sebelum ini secara automatik.
''Apa yang
diperjuangkan Anwar sekarang jelas menyalahi tatasusila sebagai seorang
pemimpin gayong kerana telah melanggar ikrar dan perjuangan silat seni
gayong," jelasnya.
Pada sidang
akhbar itu juga, beliau mengingatkan kepada semua anak murid dan guru silat
gayong di seluruh negara agar tidak menentang kerajaan.
''Semua
anak gayong di luar sana berdiri teguhlah di bawah kepimpinan Imam Khalifah
Agong Gayong iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, taat setia
kepada raja dan pemimpin negara.
''Sebagai
anak murid kepada mahaguru, kita mesti mencontohi sifat taat setia mahaguru
kita kepada raja-raja Melayu dan pemimpin negara," katanya.–UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment