AMANAT PRESIDEN: RAPAT
BARISAN, PASTIKAN UMNO RAIH KEJAYAAN PRU-14
KUALA LUMPUR: Rapatkan barisan selepas pilihan raya umum
serta pemilihan parti dan pastikan Umno raih kejayaan pada pilihan raya umum
akan datang adalah antara intipati utama amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib
Tun Razak, Selasa.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata
Najib memberi penekanan terhadap keperluan mempertingkat perpaduan dan kesatuan
anggota Umno di semua peringkat.
"Lupakan apa yang berlaku dalam musim pemilihan parti
kerana kita mesti memastikan bahawa kapal besar ini (Umno) akan meraih kejayaan
dalam pilihan raya umum ke-14, itu juga antara nasihat yang ditekankan oleh
presiden parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri
majlis Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Najib, kata Shafie, turut meminta hadirin yang terdiri
daripada pemimpin Majlis Tertinggi, ketiga-tiga sayap parti dan peringkat
bahagian agar memberi penekanan terhadap beberapa pendekatan yang mampu
memperkuat serta memperkukuh parti bagi menghadapi cabaran akan datang.
"Kali ini pendekatan dan penekanan Umno berbeza
daripada sebelumnya, yang mana ia meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI)
kepada kepimpinan bahagian sehinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.
"Ini adalah untuk memastikan pada akhirnya terdapat
hasil dan sumbangan untuk diterjemahkan agar parti sentiasa menjadi
ikutan," kata Shafie.
Beliau berkata Amanat Presiden itu turut menyentuh
kepentingan sumbangan parti kepada akar umbi demi kepentingan rakyat.
Anggota MT yang baharu dilantik Dr Asyraf Wajdi Dusuki
berkata amanat itu juga menyentuh usaha parti untuk mempertingkat martabat syiar
dan syariat Islam di negara ini.
Asyraf Wajdi, yang juga Presiden Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim), memetik Najib sebagai berkata indeks syariah akan diwujud
bagi membolehkan kedudukan Malaysia dalam konsep memartabat Islam ditentukan,
menunjukkan keseriusan kerajaan memperjuang perkara itu.
"Indeks ini juga membolehkan kita mengenal pasti
kelemahan atau ruang kosong yang boleh diperbaiki dalam usaha meningkatkan
syiar dan syariat. Ini selari dengan matlamat syariat yang meletakkan agama
melebihi perkara lain," kata Asyraf Wajdi.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin menyebut Najib sebagai berkata Umno perlu meletakkan
matlamat yang lebih jelas dalam usaha memajukan negara serta memartabat agama Islam.
"Kalau dahulu dilakukan secara umum tetapi kali ini
perlu secara jangka pendek dan panjang, serta jelas," katanya.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr
Mahathir pula berkata Najib mahukan pelaksanaan pendekatan parti dalam menegakkan
syiar Islam serta memartabat bangsa Melayu dan tanah air, dirasai rakyat.
Perdana Menteri, kata Mukhriz, turut menyentuh penggunaan
media sosial oleh Umno bagi mendekati pengundi baharu yang dijangka berjumlah
enam juta orang.
Ketua Pergerakan Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin pula
berkata Najib menggariskan misi dan visi yang jelas untuk bekerja bagi
memastikan Umno dan BN terus kekal menjadi parti pilihan rakyat di negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Idris
Haron berkata, Perdana Menteri mahu semua anggota Umno mencari persamaan dengan
semua rakyat di negara ini dan mengetepikan segala perbezaan yang mengancam
perpaduan.
"Di Melaka, saya telah gerakkan jentera parti untuk
menemui rakyat di peringkat akar umbi, antaranya di kedai kopi agar Umno
mendekati masyarakat... ini perlu dilakukan bagi membolehkan parti ini
dihormati bukan setakat kawan malah lawan," katanya.
Mengulas kedudukan institusi raja-raja, anggota MT Dr Mohd
Puad Zarkashi berkata Najib mahu ia terus dipertahan.
Ketua Umno bahagian Bachok Datuk Dr Awan Adek Hussin pula
menyifatkan amanat presiden itu sebagai memberi idea dan nafas baharu kepada
perjuangan parti.
Sementara itu, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA
(UiTM) Profesor Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, yang baharu dilantik anggota MT,
berkata sebagai orang baharu, semua perkara yang disampaikan Perdana Menteri
dicatat bagi memudahkan beliau untuk bergerak bersama Umno.- BERNAMA