PEMUDA UMNO GESA
PEMILIHAN PARTI SEGERA DIADAKAN 'POST MORTEM'
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sistem pemilihan baru
yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti sebagai
bukti transformasi dalam Umno.
"Bagaimanapun, Pemuda menggesa agar 'post mortem'
segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap,
tetapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan yang saksama,
dihormati dan tiada ruang pertikaian.
"Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas
diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh
ikan tak dapat," katanya pada Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan
Pemuda di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, proses
pemilihan itu sendiri masih mempunyai ruang untuk diperkemas dan dimantapkan
lagi.
Jelasnya, jangan ada kertas undi yang sama warna hingga
menimbulkan keraguan mengelirukan perwakilan.
"Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan
yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan apa yang telah disahkan oleh
wakil-wakil calon di bahagian.
"Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula
diumumkan menang bila diisytiharkan di ibu pejabat," katanya. Menurut
Khairy, mengenai logistik pula aspek kerahsiaan perlu dijaga semasa proses
mengundi dijalankan. "Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk
memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang.
"Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses
rayuan ini juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana
pihak.
"Kriteria pengundian semula hendaklah diperbutirkan
dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan," katanya.
No comments:
Post a Comment