UMNO JANGAN LEKA,
PRU-13 HANYA KEMENANGAN BERSYARAT - MUHYIDDIN
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin
Yassin pada Selasa menyeru anggota parti supaya tidak lalai dan leka di sebalik
kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei lalu kerana ia
hanya kemenangan bersyarat buat Umno dan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, Umno berjaya menambah bilangan kerusi di
Parlimen, tetapi BN mengalami kekurangan sokongan terutama di kalangan pengundi
muda dan pengundi bandar.
"Kita berjaya memenangi semula negeri Kedah dan
mengekalkan pentadbiran negeri Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang,
Terengganu, Perlis dan Sabah, tetapi kita gagal memenangi Pulau Pinang,
Selangor dan Kelantan. Bilangan kerusi kita di negeri-negeri kubu kuat Umno
seperti Johor dan Melaka juga berkurangan.
"Umno perlu memahami mesej jelas yang cuba dihantar
oleh para pengundi. Kita perlu bermuhasabah secara jujur dan ikhlas untuk
mengetahui sebab-musabab mengapa sokongan pengundi bandar dan golongan muda
terhadap parti kita tidak seperti yang diharapkan.
"Apakah selama ini sentuhan Umno tidak begitu dirasai
oleh mereka? Mungkinkah terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu kita perbaiki?
Apakah bentuk penambahbaikan yang perlu kita laksanakan? Setidak-tidaknya, para
pengundi menghantar mesej jelas bahawa transformasi Umno sebagai parti yang
benar-benar merasai denyut nadi rakyat dan berupaya menggalas harapan rakyat
mesti diteruskan," katanya pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap
Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Selasa.
Muhyiddin berkata, tidak dinafikan PRU-13 merupakan pentas
jihad untuk memastikan kelangsungan perjuangan Umno demi agama, bangsa dan
negara.
Tambahnya, walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan
pembohongan yang dilemparkan oleh pembangkang termasuk konco-konco mereka dari
dalam dan luar negara, Umno dan BN terus berdiri megah sebagai parti yang
mendapat mandat rakyat untuk memerintah.
"Kita sedar dalam pilihan raya yang lalu, Umno bukan
sahaja berhadapan dengan serangan parti pembangkang, malah belasahan gerombolan
"kuasa jahat" yang mahu melihat parti keramat orang Melayu dan umat
Islam berkubur di tanah air sendiri.
"Namun, berpantang maut sebelum ajal, dengan rahmat dan
inayah Allah S.W.T kita berjaya mempertahankan kelangsungan Umno,"
katanya.
Bagaimanapun menurut Muhyiddin, orang Melayu dan Bumiputera
telah membuktikan bahawa sokongan padu mereka menjadi sumber kekuatan Umno dan
BN.
"Harapan mereka kepada Umno semakin tinggi dan mereka
mahu sokongan kepada Umno tidak disia-siakan.
"Mereka ingin melihat Umno terus menjadi penyelamat
Melayu dan perisai Islam yang sejati. Bagi orang Melayu dan Bumiputera, Umno
lah tempat mereka bernaung," katanya.
No comments:
Post a Comment