AMANAT HADI DI TV: REAKSI PEMIMPIN/TOKOH AGAMA
Dr Asri sedia jadi panel forum Amanat Haji Hadi
SHAH ALAM –
“Saya bersedia untuk menjadi salah seorang panel membincangkan isu berbangkit
ini dalam program siaran langsung di televisyen, walaupun tidak bersetuju
dengan Amanat Haji Hadi,” kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd
Asri Zainul Abidin.
Beliau
berkata, selain Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kriteria panelis
harus dipilih berdasarkan tiga kategori iaitu, wakil pihak pembangkang,
pengkritik (kerajaan atau Barisan Nasional) dan seimbang (golongan akademik).
Menurutnya,
kesan dari amanat tersebut telah memberikan impak besar kepada rakyat, tetapi
ia dikeluarkan 30 tahun lalu dalam situasi tersendiri.
“Ketika
itu, amanat tersebut lebih menjurus kepada keadaan semasa yang membawa maksud
jelas mengenai mengkafirkan Umno. Tetapi, zaman telah berubah, Pas tidak lagi
terikut dengan amanat tersebut malah telah bercampur gaul dengan pelbagai
pemikiran matang.”
Katanya,
amanat tersebut pada dasarnya telah ditarik secara tidak langsung, tanpa
menguar-uarkan kepada umum dan persepsi Pas dilihat semakin luas, selari dengan
perubahan zaman.
Katanya,
amanat tersebut menjadi kontroversi setelah dimanipulasi dan dipolitikkan oleh
pihak tertentu, menyebabkan ia menjadi topik perbualan hangat.
“Saya
bersetuju untuk turut serta berdiskusi dan memberi pandangan balas mengenai
perkara ini,” katanya. -SinarHarian
Pertimbang penglibatan
Pengerusi
Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin
Abdul Rahman berkata, beliau akan menimbang sama ada terlibat dalam program
melibatkan ahli politik.
“Tengok
keadaan. Saya mungkin akan mempertimbangkannya jemputan tersebut.
“Jika ia
berkaitan dengan politik, maaf saya tidak mahu campur. Tetapi, untuk memberi
pandangan dalam bidang akademik saya mungkin menyertainya,” katanya. - SinarHarian
BN mahu wakil kerajaan turut serta
SHAH ALAM –Barisan
Nasional (BN) mencadangkan agar wakil kerajaan terdiri daripada ahli politik
turut serta dalam program satu jam, penjelasan isu Amanat Haji Hadi, melalui
siaran langsung nanti.
Ahli Majlis
Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, cadangan tersebut
dikemukakan supaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak 'menghentam'
kerajaan dan BN secara terbuka.
Beliau
khuatir Abdul Hadi menggunakan peluang yang diberikan sebagai platform untuk
memburuk-burukkan pihak lawan dan memutarbelitkan fakta.
“Bagaimanapun,
kesediaan RTM dan TV3 memberi peluang tersebut kepada Hadi adalah bukti bahawa
kerajaan bersikap terbuka terhadap pembangkang. Namun, saya risau jika peluang
ini disalah gunakan oleh Hadi atas kepentingan politik dan parti, bukan untuk
menjelaskan atau menarik balik amanat tersebut.”
Menurut
Tajuddin, jalan terbaik untuk mengatasi masalah itu ialah dengan penyertaan
ahli politik BN, yang mempunyai kepakaran dalam hukum-hakam agama supaya lebih
adil.
Beliau
berkata, dengan adanya wakil kerajaan, panel tersebut dapat memberi teguran, nasihat
atau penjelasan mengenai amanat itu.
“Tokoh
agama, ulama atau mufti tidak arif mengenai politik dan jika Hadi tersasar dari
topik asal dengan tujuan politik, mereka pasti gagal untuk mengawal situasi
ini. Bagi mengelakkan ia berlaku, kami berharap cadangan ini dapat diterima
semua pihak,” katanya. -SinarHarian
Tak perlu forum TV - Mufti
Kuala
Lumpur: Dua mufti tidak setuju dengan cadangan forum yang bertujuan memberi
peluang kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperjelaskan amanat
mengkafirkan UMNO kerana bimbang ia menjadi wadah memenuhi kepentingan peribadi
dan politik kepartian pihak tertentu.
Mufti
Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin berpendapat forum itu tidak wajar diadakan
kerana ia berpotensi menimbulkan polemik berterusan, manakala Mufti Perak, Tan
Sri Harussani Zakaria secara tegas tidak mahu terbabit dengan agenda politik
Hadi dan tidak akan hadir walaupun dijemput.
Mohd Tahrir
berkata, selain boleh menimbulkan polemik berpanjangan, kesan forum itu akan
menjejaskan imej agama dan umat Islam.
“Justeru,
lebih elok jika forum itu tidak diadakan,” katanya.
Ditanya
sama ada akan menghadirinya, beliau berkata ia bergantung kepada perbincangan
dengan mufti negeri lain terlebih dahulu.
“Benda sudah salah tidak perlu ada forum. Saya
cuma nak nasihatkan beliau bertaubat dan menarik balik amanat itu. Tak ada
faedah pun forum itu diadakan. Saya tidak akan hadir... buat apa hendak
menegakkan benang basah. Saya bukan mencari siapa salah, siapa betul. Saya kata
perbuatan itu salah, habis cerita... kalau dia kata tak salah, dia punya
pasal,” katanya.
Mufti
Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad pula mahu ia diadakan secara tertutup kerana
penganjuran forum terbuka atau secara langsung menerusi televisyen boleh
menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi agama dan memburukkan lagi
keadaan.
“Saya
khuatir adakah kebenaran atau populariti yang hendak dicari? Jika kebenaran
yang dicari, tidak bolehkah forum itu diadakan secara tertutup?
“Jika
perbincangan membabitkan dua kumpulan dalam kalangan tokoh agama yang diadakan
secara terbuka, sesiapa saja yang menang atau kalah akan memberi kesan kepada
imej institusi agama. Jangan kita terperangkap dengan agenda politik pihak
berkepentingan,” katanya.
Ditanya
sama ada beliau akan hadir, Mohammad Shukri berkata, ia tertakluk kepada
kebenaran istana, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ketetapan yang dicapai dalam
forum antara mufti.
“Sebelum
menyatakan komitmen, mufti perlu memandang jauh dan melihat daripada pelbagai
aspek, berbeza dengan orang politik.
“Katakanlah
mufti dijemput, mungkin kita akan berbincang dulu sesama mufti mengenai
kewajaran untuk hadir. Keputusan itu berdasarkan apa kebaikan jika hadir dan
apa persiapan perlu dilakukan termasuk merujuk pada kitab kerana ia tidak boleh
diputuskan begitu saja,” katanya.
Mufti
Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman pula membayangkan tidak akan hadir forum
berkenaan.
“Kita
dahulukan Mufti Perak dan Mufti Wilayah Persekutuan (Datuk Wan Zahidi Wan Teh).
Mereka ada bukti dan lebih awal mengemukakan isu berkenaan, mereka yang patut
hadir,” katanya tetapi enggan mengulas panjang.
Sementara
itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya bersedia untuk hadir dan bersetuju jika ia
disiarkan secara langsung.
“Saya amat
bersetuju kalau siaran secara langsung dan telus. Amat besar harapan umat Islam
supaya isu ini dileraikan dan semua pihak perlu jujur untuk Islam,” katanya.
Beliau
turut mencadangkan beberapa nama selaku moderator bebas yang arif dalam sejarah
dan perkembangan gerakan Islam seperti Prof Datuk Dr Agus Yusof dan Ketua
Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan
Jan.
Mufti Pulau
Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad pula berkata, beliau akan meneliti perkara itu
lebih mendalam sebelum membuat keputusan.
“Sekarang
saya belum boleh buat apa-apa keputusan lagi, mungkin selepas saya teliti dulu
isunya,” katanya. -BHarian