Oleh: DATUK DR. HASAN ALI ialah Presiden Jalur Tiga
(Jati)
Penamaan calon
sudah berlalu, kini hari penentuan yang ditunggu-tunggu bakal tiba beberapa
hari lagi. Sebagai manusia kita sering membuat keputusan daripada yang
sekecil-kecilnya yang menyentuh kehidupan harian, yang berskala sedang dan yang
berskala besar.
Mari kita renung
sejenak tentang keputusan besar yang mesti dilakukan pada 5 Mei 2013. Tarikh
keramat ituadalah tarikh penentuan. Tarikh yang akan menentukan pada malam dan
keesokan harinya sama ada Malaysia menjadi negara suram dengan gerhana atau
penuh bercahaya memancarkan sinar harapan untuk generasi akan datang.
Ertinya jika
silap membuat keputusan kitalah yang akan menggerhanakan bumi bertuah ini.
Sebaliknya jika jari-jari yang dikurnia Allah digunakan dengan sebaik-baiknya
untuk membantu kita membuat keputusan yang sebaik-baiknya dari segi syarak dan
amalan kehidupan berbudaya maka keputusan sedemikianlah yang dapat membantu
menjemput rahmat Allah dengan kurnia Rahman dan Rahim-Nya dalam kehidupan kita
seterusnya.
Sering disebut
akhir-akhir ini bahawa PRU-13 adalah 'mother of all election'. Ini membawa erti
PRU-13 dalam sejarah pilihan raya di negara ini merupakan PRU penentu sama ada
negara ini menjadi 'BaldatunTayyibatun Wa Rabbun Ghaffur' atau negara yang
sentiasa dalam kelaknatan Allah SWT.
Saya tidak
perlu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kalimat ini, tetapi cukup kalau
saya simpulkan keputusan yang tepat mengelakkan kesengsaraan dan kesilapan
membuat keputusan di pihak kita bererti kita bersedia menjadikan diri
masing-masing pengundang kepada malapetaka. Di ruangan ini saya ingin menyentuh
sedikit mengenai berbagai mala petaka yang mungkin akan diturunkan kepada kita.
Mala petaka akidah bagi saya adalah mala petaka paling dahsyat yang mungkin
berlaku.
Mala petaka
kategori ini lebih dahsyat daripada gempa bumi berukuran 8 skala Richter
seperti yang berlaku di Jepun atau banjir hebat akibat pecahnya dinding-dinding
penghadang di New Orleans, Amerika Syarikat. Kedahsyatan mala petaka akidah
mungkin tidak menampakkan di hadapan mata kita runtuhnya bangunan, tenggelamnya
muka bumi atau hilangnya jiwa ratusan ribu penduduk bumi ini.
Mala petaka
akidah akan menjadikan insan itu kurus kering tidak bermaya dari sudut hubungan
dengan Allah SWT, kaitannya dengan Nabi Muhammad SAW termasuk juga hubungan
sesama manusia dalam komuniti atau masyarakat yang sama-sama menanggung bencana
kerapuhan dan kehilangan akidah. Di peringkat diri sudah dibayangkan bencana
membelakangkan akidah. Di peringkat keluarga bencana yang sama akan menimpanya
dalam skop dan ruang lingkup yang lebih besar.
Yang kita
harus sedar bencana yang akan menimpa umat yang di dalamnya termasuk diri kita,
anak isteri, keluarga terdekat, jiran tetangga, anggota masyarakat dan umat
sejagatnya. Barangkali tidak ramai di antara kita yang mengaitkan satu undi
yang bakal diberi kepada mana-mana parti dengan permasalahan akidah yang
dinukilkan.
Amat malang
bagi kita dalam kalangan parti politik hampir tidak terserlah mana-mana parti
politik yang memperjuangkan keluhuran akidah umat. Parti Islam Se-Malaysia atau
Pas yang sejak hampir 60 tahun lalu berjuang menjadi benteng mempertahankan
akidah umat, kini atas tuntutan teman setiakawan DAP dan PKR terpaksa
mengetepikan dan menggugurkan jihad mempertahankan akidah yang diperjuangkan
selama ini. Pas telah menggugurkan perjuangan menegakkan Negara Islam dan
melaksanakan Hudud. Pas juga merelakan struktur pimpinan parti yang sebelum ini
majoritinya terdiri daripada golongan ulama, kini dikuasai oleh kumpulan
Anwarinas atau parasit. Daripada bunyi sebutan namanya pun sudah terbayang penguasaan
Anwar Ibrahim secara jauh dan secara dekat ke atas batang tubuh Pas.
Dikatakan
melalui sistem proksi yang dipraktikkan, hala tuju Pas berubah dan beralih
hampir menyamai hala tuju perjuangan PKR dan dari sudut negara berkebajikan
yang menggantikan negara Islam dari segi 'content'nya menyamai apa yang
diperjuangkan oleh DAP.
Persoalan yang
sering ditimbulkan bagaimana Pas boleh bersekongkol dengan PKR dan DAP. PKR
yang dipimpin oleh Anwar cuba mengimport dan memperkenalkan beberapa laras
kehidupan yang begitu asing kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini. Para
ulama dan agamawan menjatuhkan hukuman syirik kepada mereka yang mempromosi
Pluralisme agama, Islam Liberal, LBGT (liberal, Biseksual, Gender dan
Transseksual) dan sebagainya.
Di pihak DAP
pula akibat penentangan dengan cara yang begitu angkuh menolak Islam sudah
tidak dapat disembunyikan lagi. Ada kalangan anggota masyarakat menolak secara
'outright' kerjasama orang Islam dengan DAP yang disifatkan sebagai penganut
kafir harbi. Gambaran yang diberi ini bukan merupakan cetusan baru. Saya telah
mengemukakan pendapat dalam hal ini menerusi pelbagai saluran media termasuk
dalam pertemuan-pertemuan dengan pelbagai kumpulan masyarakat. Pengalaman saya
sebagai mantan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor mendapati bahawa dari sudut
akidah yang dibincangkan ini, penentangan PKR dan DAP khususnya, begitu lantang
dan berterusan.
Sebagai
contoh, peristiwa DUMC yang melibatkan 50 orang Melayu Islam dijemput
menghadiri majlis berbuka puasa dalam persekitaran gereja. Tindakan saya
bersama JAIS dikutuk dan dikecam pimpinan DAP, PKR dan yang paling malang
termasuk juga pimpinan Pas. Kononnya tindakan saya akan menjejaskan perjalanan
pakatan pembangkang untuk menguasai Putrajaya.
Bagi saya
bukan setakat peristiwa DUMC itu sahaja, apa pun yang menyentuh persoalan Islam
secara sembunyi atau secara terbuka ditentang oleh ketiga-tiga parti komponen
pakatan pembangkang, tidak disenangi bahkan dihalang operasi dan
pelaksanaannya. Sebagai contoh untuk menggambarkan bencinya mereka kepada
Islam, tulisan Jawi yang digunakan pada papan tanda jalan atau lorong pun
dipertikaikan.
Pertikaian itu
didorong oleh salah persepsi bahawa tulisan Jawi digambarkan sesuatu yang ada
pertalian langsung dengan Islam dan orang Melayu.
Apakah kita
boleh bercerita dengan puak-puak ini mengenai agenda-agenda yang lebih besar
seperti agenda pendidikan, agenda ekonomi, agenda kemasyarakatan umat dalam
skala negeri dan negara? Atas dasar itu, izinkan saya membuat satu seruan
kepada pengundi dan pembaca agar menghargai dan memberi nilai yang sewajarnya
kepada undi yang bakal mereka berikan.
Dalam sistem
demokrasi kita, perbezaan satu undi boleh memenang dan menewaskan calon dan
parti. Dengan kelebihan satu undi juga memungkinkan terbentuknya sebuah negara
yang berupaya memberi payung akidah dan satu undi itu juga dapat menjerumuskan
kita semua ke lubang laknat Allah SWT. Fikir-fikirkan. - UTUSAN ONLINE
ua ke lubang laknat Allah SWT. Fikir-fikirkan. - UTUSAN ONLINE