SUNGAI BESAR -
Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parit 9, Sungai Leman di sini, dibaling bom
petrol dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi ini.
Kejadian itu
bagaimanapun disedari salah seorang penduduk kampung yang bertindak menghubungi
Jawatankuasa Kemajuan Kampung Kerajaan Persekutuan (JKKKP) setelah melihat api
mula menyambar kain rentang BN.
Pengerusi
JKKKP Parit 9, Sungai Leman, Zulkefli Hassan berkata, kebakaran berjaya dipadam
bersama anggota parti yang lain, sekali gus dapat menyelamatkan bilik gerakan
yang juga balai raya berusia lebih 30 tahun itu daripada hangus.
Ekoran
kejadian itu, katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sekinchan awal
pagi ini bagi membolehkan dalang kes ditangkap.
"Kejadian
berlaku kira-kira pukul 4 pagi, sebelum itu saya sendiri berada di bilik
gerakan untuk menjalankan kerja parti bersama rakan. Hasil pemeriksaan awal
menemui satu botol air mineral di kawasan kebakaran.
"Saya
hanya menyedari kejadian ini selepas dimaklumkan oleh rakan, selepas itu saya
bergegas ke bilik gerakan untuk memadam api, saya mengesyaki kebakaran ini
sebagai perbuatan untuk mensabotaj kempen BN," katanya ketika ditemui
pemberita di sini hari ini.
Sementara itu,
pemilik tanah tapak bilik gerakan, Ismail Sutan, 72, kesal dengan tindakan
sesetengah pihak yang sanggup menggunakan cara kotor semasa berkempen pada
Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.
"Tindakan
membakar bilik gerakan yang juga balai raya di sini merupakan tindakan tidak
wajar sama sekali," katanya.
Dalam pada
itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad ketika
dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan pagi ini bergegas ke lokasi
kejadian dan hasil pemeriksaan menemui satu botol plastik yang dijadikan
sebagai bom petrol di kawasan tersebut.
Menurutnya,
bom petrol tersebut dipercayai dibaling oleh individu tertentu yang menaiki
kenderaan ke arah bilik gerakan terbabit sebelum api menyambar kain rentang BN
yang digantung di dinding bilik gerakan itu.
"Nasib
baik seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan tersebut ternampak api dan
kemudian memadamkannya bersama jentera parti yang lain daripada merebak ke
seluruh bilik gerakan," katanya.
Noor Mushar
memberitahu, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada tindakan
khianat itu dilakukan pihak lawan namun polis sedang mengenal pasti individu
terlibat dan akan membuat tangkapan segera.
Beliau
bagaimanapun meminta semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan
sendiri, sebaliknya menyerahkan kes berkenaan kepada pihaknya untuk tindakan
lanjut.
Kes berkenaan
disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.- UTUSAN
ONLINE
No comments:
Post a Comment