Oleh NAZARUDIN
SHAHARI
TERDAPAT
perbezaan yang ketara antara `tunjuk muka' dan `buat kerja'. Orang yang selalu `tunjuk
muka' belum tentu adalah mereka yang `buat kerja' tetapi orang yang buat kerja
tidak perlu lagi menunjukkan mukanya untuk memberitahu masyarakat bahawa dia
buat kerja.
Konsep ini
dihuraikan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rembau pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU-13), Khairy Jamaludin semasa berucap pada majlis pemimpin
bersama rakyat di Taman Marida, Senawang dekat sini malam semalam.
Majlis
tersebut menampilkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kata Khairy,
pengundi perlu memilih wakil rakyat yang buat kerja dan bukannya yang rajin
menunjukkan muka, tetapi hasilnya tiada.
Menurutnya,
banyak isu rakyat yang memerlukan pemimpin yang mampu menyelesaikan masalah di
kawasan mereka seperti longkang tersumbat, jalan berlubang, rumah terbakar, ibu
tunggal, warga emas dan orang kurang upaya.
Sebagai wakil
rakyat, jelasnya, semua masalah itu boleh diselesaikan melalui banyak saluran
bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
"Malangnya,
seringkali alasan yang dikemukakan oleh wakil rakyat pembangkang ialah mereka
tidak ada duit atau tidak ada kuasa untuk selesaikannya.
"Ini
adalah tidak benar. Masalah ini tidak memerlukan duit wakil rakyat untuk
diselesaikan. Apa yang perlu dilakukan ialah mereka merujuk kes-kes tersebut
kepada pihak yang berkenaan.
"Wakil
rakyat perlu buat kerja. Pergi ke jabatan kerajaan yang berkenaan. Usahalah
sedikit dan bukannya tunjuk muka dan pergi begitu sahaja.
"Lebih
teruk lagi, masalah tidak selesai tetapi menjadikannya pula modal untuk
menyalahkan kerajaan," ujarnya.
Itu yang
sering berlaku dalam tempoh lima tahun lalu di kawasan yang diwakili wakil
rakyat pembangkang. Semua masalah rakyat diselesaikan oleh wakil yang dilantik
oleh BN.
Tetapi dalam
bab menunjuk muka, tidak gagal pula dilakukan oleh wakil rakyat pembangkang.
Malah dalam
kes tertentu, mereka ini tidak segan silu mendakwa bahawa atas usaha merekalah
sesuatu masalah itu dapat diselesaikan.
Seperti yang
diceritakan oleh Mohamad pada majlis yang sama mengenai bekas Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani yang mendakwa
pembinaan Masjid At-Taqwa, Paroi adalah atas usahanya.
Sedangkan,
pembinaan masjid itu dipersetujui oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah
yang datang ke negeri ini untuk merasmikan penamaan Pangsapuri Rakyat Seri
Perdana, Paroi pada 29 Ogos 2006.
"Saya dan
Pak Lah telah berbincang dalam kereta semasa dalam perjalanan ke majlis itu dan
beliau sendiri telah menyatakan persetujuan pembinaan masjid tersebut,"
kata Mohamad.
Sikap hanya
pandai menunjuk muka tetapi kantoi juga terserlah semasa Mohamad Taufek
mengusung Presiden partinya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya untuk
membongkar penerokaan Hutan Simpan Kekal Miku di Rembau, baru-baru ini.
Akibat terlalu
ghairah hendak tunjuk muka, akhirnya malu sendiri apabila apa yang didakwa
sebagai Hutan Simpan Kekal Miku sebenarnya tidak wujud sama sekali dalam peta
Jabatan Perhutanan negeri. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment