SELESAIKAN SEGERA KRISIS DIESEL -PAS
SHAH ALAM - Pemuda Pas mendesak kerajaan supaya menyelesaikan segera
krisis kekurangan bekalan minyak diesel yang berlaku di beberapa buah negeri di
Malaysia segera.
Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, pihaknya menerima banyak
aduan daripada pengguna jalan raya yang mengatakan bahawa bekalan minyak diesel
sering kehabisan di stesyen-stesyen minyak.
“Keadaan ini sudah berlarutan beberapa hari lamanya.
“Ianya, telah menimbulkan
kekalutan bagi pengguna jalan raya, khususnya pemandu-pemandu lori, kerajaan
perlu ambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya lagi, krisis bekalan ini bukan hanya berlaku di Semenanjung
Malaysia, malah turut berlaku di Sabah dan Sarawak.
“Jika ini berlarutan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara
namun apa yang dibimbangkan adalah harga-harga barang terutama makanan akan
meningkat mendadak atas faktor tersebut,” katanya.
Menyentuh hal yang sama, Raja Ahmad turut menegaskan, apa yang diketahui
krisis diesel tidak meruncing di peringkat antarabangsa.
Justeru tambahnya, sepatutnya ia tidak menjadi suatu masalah kepada
negara untuk membekalkannya mengikut keperluan pasaran semasa. jadi timbul
persoalan adakah harga diesel akan dinaikkan.
“Apakah krisis ini dicipta dengan usaha terancang bagi memberi laluan
agar harga diesel dinaikkan terutama di musim-musim perayaan seperti ini?kerana
pasaran antarabangsa tidak menghadapi masalah.
“Mungkinkah harga diesel akan dinaikkan dalam masa terdekat?"
katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mendesak Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjelaskan berhubung isu ini.
“Kerajaan perlu proaktif dengan melihat senario yang berlaku dan sebelum
krisis ini menjadi parah, seharusnya kerajaan bertindak cepat bagi
menyelesaikannya," ujarnya. –Sinar Online