JITRA – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis)
menggesa supaya kerajaan mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku
teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan
ke arah fahaman Syiah.
Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd
Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada
silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat
dalam pembunuhan Saidina Uthman.
“Pada saya, mata pelajaran Pendidikan Islam ini perlu disemak dan
ditulis semula. Terutamanya berkaitan sejarah Islam semasa zaman Saidina Uthman
dan para sahabat nabi.
“Saya khuatir perkara ini boleh
merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang
terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap
pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya pada sidang media di Hotel Darulaman,
di sini semalam.
Tambahnya, pelajar di peringkat universiti juga tidak ketinggalan perlu
diperjelaskan mengenai perihal Sunni dan Syiah.
Mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pemimpin sebuah parti
politik terlibat dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perkara itu terpulang
kepada individu berkenaan untuk mengaku atau sebaliknya.
“Kita bercakap dalam bentuk umum dan tidak menunjukkan kepada sesiapa.
Sebenarnya, ia perlu ditanya kepada diri masing-masing. Sepanjang pengalaman
saya di Kuala Lumpur, nampaknya pemuda-pemuda Islam lebih mudah terpengaruh
dengan fahaman Syiah.
“Jadi sudah tentu ada yang terlibat. Cuma kalau ada pun mereka cuba
menyembunyikan diri. Kita harap mereka yang berkenaan itu bertaubatlah sebelum
mati. Balik semula ke pangkal jalan,” katanya.–Sinar Harian
No comments:
Post a Comment