HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT?
Himpunan
Kebangkitan Rakyat akan tetap berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari
walaupun tanpa permit dari pihak berkuasa.
Aktivis
sosial Hishamuddin Rais memberitahu, pihak penganjur masih menunggu respon dari
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan dengan permohonan mereka untuk
manggunakan Stadium Merdeka, yang sudah dihantar minggu lalu.
Akan
tetapi, beliau menegaskan walaupun tiada permit, peserta perhimpunan boleh
berkumpul di keliling stadium secara aman.
“Saya hanya
mengulangi kata Md Sabu, jika tiada permit, kita akan berkumpul di sekeliling
stadium,” kata beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang
merupakan pengerusi kepada perhimpunan tersebut.
“Saya tidak
fikir akan berlaku huru-hara, kecuali jika polis memulakannya. Saya fikir masa
tidak kondusif untuk ini….. tetapi kami tidak bimbang tentang itu dan akan
berhadapan dengannya jika berlaku,” kata Hishamuddin lagi.
Jika
perhimpunan ini berlangsung tanpa kebenaran, jalan raya di ibu kota akan sekali
lagi menjadi fokus dunia dan pergerakkan sivil seluruh negara, bersama parti
Pakatan Rakyat (PR) dan kumpulan anti-kerajaan lain, dalam menuntut beberapa
isu utama menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Hishamuddin
berkata, Himpunan Kebangkitan Rakyat akan menggabungkan semua pergerakan yang
tidak berpuas hati dengan dasar dan keputusan kerajaan, golongan pro-perubahan,
pro-demokrasi dan pro-pembangkang, dalam usaha untuk menakutkan parti
pemerintah dari menipu semasa pilihan raya akan datang.
Pada sidang
media mengumumkan perhimpunan tersebut minggu lalu, Mohamad menjemput semua
kumpulan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan untuk menyertai perhimpunan
terbesar itu.
“Kita tidak
berselindung memilih tarikh tersebut secara spesifik kerana ia dekat dengan
pilihan raya. Dan benar jika ada yang mengatakan ini politikal.
“Adalah
jelas ia adalah satu acara untuk melancarkan tekanan ke atas kerajaan hari ini
supaya mereka tidak akan melakukan penipuan besar-besaran semasa pilihan raya,
supaya ia tidak akan menjadi pilihan raya yang dicuri,” kata Hishammuddin.
Aktivis
tersebut, yang juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0,
mengingatkan walaupun perhimpunan ini bersifat politik, pengelibatan kumpulan
masyarakat sivil bermaksud mereka mahukan tuntutan mereka ditunaikan – dari
menuntut kilang Lynas ditutup di Kuantan, pemberian royalti yang adil,
pendidikan percuma dan pilihan raya bebas dan adil.
“Kumpulan
ini telah menyuarakan tuntutan mereka, dan bukan sahaja untuk kerajaan hari ini
akan tetapi termasuk kerajaan akan datang.
“Tuntutan
ini masih sah kepada pemerintah akan datang, tolong ingat ini,” kata
Hishamuddin sebelum menambah bahawa tuntutan pilihan raya bebas dan adil adalah
mesej utama perhimpunan tersebut.
Penganjur
mensasarkan satu juta orang untuk hadir ke Stadium Merdeka pada 12 Januari dengan
warna hijau anti-Lynas, kuning Bersih 2.0, oren pergerakan anti Felda Group
Venture Holdings (FGVH) dan merah untuk kumpulan yang menuntut royalti.
Kumpulan
menuntut reformasi pilihan raya Bersih 2.0 tahun lalu cuba untuk mengadakan
perhimpunan di Stadium Merdeka tetapi diketepikan oleh kabinet Datuk Seri Najib
Razak pada saat akhir.
Peserta
perhimpunan walau bagaimanapun meneruskan perhimpunan di jalan-jalan di ibu
negara pada 9 Julai 2011 menyebabkan keadaan huru-hara apabila polis anti
perusuh menawan kawasan terbabit dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam
air.
Perhimpunan
tersebut menyebabkan pergerakan hak asasi manusia bercambah disamping kecaman
antarabangsa terhadap kerajaan Najib di atas tindakan keras polis kepada
peserta perhimpunan.
Dua
perubahan besar dilakukan akibat daripada perhimpunan tersebut - iaitu Akta
Perhimpunan Aman 2011 digubal untuk mengawal perhimpunan awam dan kerajaan
membentuk sebuah jawatankuasa terpilih Parlimen (PSC) untuk reformasi pilihan
raya bagi melihat ke atas tuntutan Bersih 2.0.
Bersih 2.0
menganjurkan satu lagi perhimpunan tahun ini selepas mengatakan reformasi
pilihan raya tidak mencukupi dan tidak ikhlas, walaupun terdapat akta untuk
perhimpunan aman, perhimpunan pada 28 April menjadi lebih ganas dari
sebelumnya.
Kali ini,
peserta perhimpunan berkumpul untuk “duduk bantah secara aman” di Dataran
Merdeka, dimana pihak berkuasa menutup kawasan tersebut selepas mendapat
perintah mahkamah melarang peserta memasuki kawasan tersebut. - The Malaysian
Insider