TELITI UNDANG-UNDANG INTERNET UNTUK DIKUATKUASA DI
MALAYSIA
KUALA LUMPUR,
14 Jun – Ramai yang setuju supaya kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada
penyalahgunaan media sosial dan Internet melalui undang-undang baru atau
mengemaskini undang-undang sedia ada.
Namun, ramai
juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat negara ini juga perlu
diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang Internet di Barat perlu
diteliti sebelum boleh digunapakai.
Sensitiviti
kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia menerima
undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.
Dekan Fakulti
Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr
Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat misalnya, walaupun rakyat bebas
bersuara baik di alam maya dan realiti, namun mereka masih terikat dengan
pelbagai akta yang menjaga dan melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta
Buli dan Pencerobohan Privasi.
Masyarakat
negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga boleh membezakan
yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius terutama jika melibatkan
isu negara, presiden dan sebagainya.
“Contoh lain,
jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan tuduhan (jika fitnah itu
palsu) dan jika mereka yang buat fitnah didapati bersalah, mereka boleh
dikenakan hukuman,” katanya.
“Namun perkara
ini jarang berlaku di Malaysia. Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah
atau perihal Akta Hasutan.”
Beliau berkata,
seharusnya kebebasan bersuara perlu datang dengan rasa tanggungjawab termasuk
bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.
Baru-baru ini,
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan
berkata kerajaan akan melihat peraturan Internet di tiga Negara – Amerika
Syarikat, Britain dan Australia – dalam usaha membendung penyalahgunaan media
sosial di negara ini.
Internet di
Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set undang-undang di sebalik ia
mengamalkan kebebasan bersuara terhadap persekutuan dan negeri.
Pihak berkuasa
boleh merampas domain profil pengguna dan komputer tanpa notis dan mampu
menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan operasi.
Di Australia,
kandungan Internet dikawal selia Australian Communications and Media Authority
(ACMA) yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan sekatan pada kandungan
Internet dalam negara.
Pihak berkuasa
negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis
perisiannya.
Tumpuan
sekatan terutamanya kepada pornografi kanak-kanak, keganasan seksual, dan
aktiviti haram yang lain yang dilakukan hasil proses aduan pengguna.
Di Britain
pula penapisan Internet termasuk menyekat akses kepada laman web, menguatkuasa
undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan bahan tertentu, termasuk,
fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan pornografi kanak-kanak.
Internet Watch
Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan mengekalkan satu senarai hitam,
terutamanya URL pornografi kanak-kanak, maka 98 peratus daripada pelanggan
Internet komersil di negara itu ditapis.
Sesuaikan dengan budaya
Azizul berkata,
negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai undang-undang yang hampir sama
dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013 Britain (yang baru) namun negara
tersebut lebih cekap dan pantas mengambil tindakan kerana telah lama
melaksanakannya.
Di Malaysia
sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan realiti sehingga tidak
tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.
Jadi
cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan jangan bertolak
ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah kerana kalau tidak
dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan boleh menjadi huru-hara,
katanya.
Timbalan
Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan
bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA, Dr. Norbaiduri Ruslan berkata rakyat di
Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak mereka termasuk mementingkan
kebebasan dan privasi di tahap yang tertinggi.
“Kita masih
belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini),” katanya. “Bila kita sudah
sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan tahu jaga perilaku kita di alam
maya dan realiti.
“Kempen
kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang bagaimana cara
menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana ketika ini terlalu banyak
pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat spiritual, personaliti dan lemah
psikologi.
“Jika kita
terlalu ingin sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita,”
katanya.
Didik rakyat Malaysia
Norbaiduri
berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan diperjelaskan apa hak mereka
ketika berada di media sosial dan bukan sewenang-wenangnya bersuara tanpa
batasan dan mengabaikan undang-undang sedia ada.
Pengamal
Undang-Undang, Khairul Azam Abd Aziz berkata, seseorang penulis termasuk dalam
dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap sebarang bentuk penulisannya dan
bersedia menerima hukuman.
“Kalau
penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu gugat ketenteraman
awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi,” katanya.
Seorang
blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata, kerajaan perlu
mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media demi masa depan generasi
mendatang.
“Penyalahgunaan
media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak terkecuali. Apabila orang
dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa usul periksa semata-mata kerana
menaruh perasaan geram, ia akan menjadi ikutan.
“Di peringkat
kanak-kanak akan timbul masalah pembuli siber,” katanya. – Bernama/The Malaysian
Insider