APA LAGI YANG ANWAR IBRAHIM MAHU?
Oleh: Abdul
Rahman Dahlan, The Malaysian Insider
Satu fenomena
menarik yang saya amati sejak kebelakangan ini ialah suara suara `lantang’ yang
berkumandang dari lubuk Pembangkang. Boleh dikatakan saban hari, ada saja yang
tidak kena. Apa lagi yang Pakatan Rakyat mahu agaknya? Pilihanraya sudah lama
berakhir. Kerajaan sudah ditubuhkan, dan Parlimen sudah hampir bersidang.
Tidak sampai
seminggu selepas pilihan raya umum lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah
memulakan `kecoh’ nya. Bermula dengan perhimpunan di Stadium Kelana Jaya, dia
kemudiannya merantau ke setiap pelusuk negara di bawah sepanduk `Black 505’,
menyuarakan ketidakpuasan hatinya atas keputusan pilihan raya umum yang tidak
memihak kepada Pakatan Rakyat.
Anwar
menganggap kekalahan Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional, walaupun
Pembangkang secara keseluruhannya menerima undi popular yang lebih besar,
adalah tidak mencerminkan demokrasi sebenar. Dia mendakwa keputusan pilihanraya
telah di `curi’ oleh Barisan Nasional menerusi penipuan dan manipulasi.
Yang terbaru,
desakan keras supaya anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan,
walaupun mereka memikul tugas besar untuk mengkaji semula persempadanan kawasan
pilihanraya yang berdasarkan jadual yang ditetapkan mengikut undang-undang.
Bagaimanapun,
saya kira semua ini hanyalah `smokescreen’ Anwar untuk menarik perhatian umum
daripada hakikat sebenar, bahawa kekalaha Pakatan Rakyat itu adalah disebabkan
oleh kelemahan strategi beliau di Sabah. Anwar Ibrahim sebenarnya gagal memahami
suasana politik di Sabah, dan ini menyumbang kepada kegagalan Pakatan memenangi
kerusikerusi Parlimen penting yang boleh membantu mewujudkan kerajaan Pusat.
Sebagai
contoh, pemimpin PKR Sabah tidak memahami apakah keuntungan strategi Anwar
dalam membawa masuk Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing ke
dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, dan membenarkan kedua-duanya
mempengaruhi senarai calon pilihanraya di negeri itu. Ini kerana PKR Sabah
sudah pun mempunyai senarai calon tersendiri yang sudah lama membanting tulang
untuk parti sejak ditubuhkan 15 tahun lalu. Mereka ini diketepikan begitu saja.
Jelas sekali,
Anwar terlalu yakin bahawa Sabah boleh membantu `menghadiahkan’ kerusi-kerusi
Parlimen yang diperlukan, sehingga beliau mengabaikan negeri itu apabila
pilihan raya menjelang tiba dan memberi tumpuan hebat kepada kerusi-kerusi
panas di Semenanjung.
Kerana
kegagalan percaturan itu, Pakatan kehilangan Sabah, dan sekaligus tewas dalam
pilihan raya umum lalu.
Masanya sudah
tiba bagi Pakatan Rakyat untuk meletakkan pilihan raya sebagai sejarah silam,
dan merintis jalan untuk membina negara. Dalam konteks ini, biarlah saya
menjadi orang pertama yang membuka jalan kerjasama. Sebagai Menteri, saya
sendiri sudah menjemput Anwar untuk menamakan pemimpin Pakatan untuk bersemuka
dan berbincang mengenai isu semasa berhubung kementerian saya. Sehingga kini,
pelawaan saya masih tidak berjawab. Saya kira rakyat berhak bertanya, kenapa?
Anwar juga
mengembar-gemburkan isu undi popular dalam ucapannya. Jika dikaji, kelebihan
undi popular Pakatan Rakyat adalah kira-kira 380,000 undi. Bagaimanapun, undi
popular itu sebenarnya adalah ihsan DAP kepada Anwar, yang boleh dilihat
menerusi kawasan bandar seperti Seputeh yang mencatatkan majoriti 51,000 undi,
PJ Utara (45,000), Cheras (37,000),Serdang (42,000), Puchong (32,000) dan Bukit
Gelugor (41,000). Jelas sekali, majority itu datang dari kawasan DAP.
Seperkara lagi
yang perlu diingatkan, ialah mungkin Anwar lupa walaupun secara statistiknya
Pakatan Rakyat memenangi undi popular, tetapi Barisan Nasional menerima
sokongan `takdir’ yang membantu gagasan itu memenangi PRU13 baru-baru ini.
Pendek kata, takdir dan kuasa Tuhan menentukan segala-galanya.
* Datuk Abdul
Rahman Dahlan ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan serta Ahli Parlimen Kota Belud.
No comments:
Post a Comment