JANGAN TERPEDAYA PEMBOHONGAN PEMBANGKANG - PM
JAKARTA 16 jun
- Pelajar-pelajar Malaysia di luar negara dinasihatkan tidak terpedaya dengan
pembohongan pembangkang sehingga menjadikan mereka antikerajaan.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, fitnah dan pembohongan yang dilempar
pembangkang khususnya berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini
telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan
terpelajar yang menerima bulat-bulat dakyah tidak berasas itu.
Antara fitnah
pembangkang yang tidak masuk akal dan tidak dapat dibuktikan sehingga ke hari
ini tegas Najib, ialah tuduhan Barisan Nasional (BN) membawa 40,000 warga
Bangladesh untuk mengundi.
“Ini satu fitnah dan
pembohongan. yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini. Sebab
itu saya kata tak kan ada orang tak boleh fikir. Rupanya ada orang tak boleh
fikir. Saya dapat tahu peguam pun tak boleh fikir.
Apa masalah
golongan ini? Apa sudah jadi dengan tahap kebijaksanaan dan rasional mereka
yang tak boleh fikir soal ini," katanya.
Beliau berkata
demikian ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama pelajar-pelajar
Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini hari ini.
Pada majlis
itu, beliau turut meminta pelajar Malaysia di Indonesia berfikir secara
rasional bagaimana BN boleh membawa 40,000 warga Bangladesh ke Malaysia sebagai
pengundi pada PRU-13.
Ini kerana,
kata Najib, sekiranya benar dakwaan itu berlaku, BN memerlukan 100 pesawat
jumbo untuk mengangkut mereka dari negara asal.
Kalau bukan
dengan pesawat sekalipun, BN tegas Najib, memerlukan 1,000 buah bas pula untuk
membawa mereka ke tempat mengundi.
Najib berkata,
dakwaan pembangkang itu tidak masuk akal dan BN pula sukar untuk menyembunyikan
warga Bangladesh di Malaysia kerana ciri-ciri paras rupa mereka adalah
berlainan dengan kebanyakan warga Malaysia.
“Saya sebagai Pengerusi BN
menafikan sekeras-kerasnya wujud penipuan yang kononnya dilakukan oleh BN.
Proses pilihan raya telah berlaku dengan adil mengikut undang-undang dan
peraturan," katanya.
Menurut Najib
lagi, BN yang telah banyak melakukan perubahan dari segi penyampaian dalam
tempoh empat tahun yang lalu dan telah menang secara sah pada PRU-13.
Bagaimanapun,
BN ujar beliau, telah kalah dalam perang persepsi (war of perception) kerana
fitnah dan pembohongan yang dilakukan pembangkang melalui media alternatif
lebih dipercayai daripada kebenaran yang dipaparkan dalam media arus perdana.
Perdana
Menteri berkata, walaupun lawatan ke Indonesia kali ini bersifat peribadi,
beliau turut mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Indonesia yang
rapat dengan beliau.
“Saya telah menegaskan kepada
mereka bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia merupakan hubungan yang sangat
penting yang perlu dipupuk dan diperkukuhkan melalui lawatan rasmi dan
peribadi," katanya. – Utusan Online
No comments:
Post a Comment