PETALING JAYA: Pendaftaran dalam
talian untuk 80,000 rumah mampu milik yang akan dibina di 50 bandar dan pekan
di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan dilancarkan secara
rasmi di Pulau Pinang pada Sabtu.
Pemohon yang layak akan dapat mengambil
bahagian dalam pengundian rumah berkenaan yang akan dibina pada kos kira-kira
RM10 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Rakyat di Pulau Pinang akan
menjadi yang pertama untuk mendaftar dan mendapat manfaat daripada program
perumahan mampu milik bandar oelh Kerajaan," kata Ketua Pegawai Eksekutif
PR1MA Berhad Datuk Mutalib Alias pada satu taklimat
media, Rabu.
Beliau berkata kerja-kerja pembinaan
projek PR1MA Seremban dijangka bermula awal tahun depan manakala bidang tanah
di kawasan bandar di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka, Sabah
dan Sarawak telah dikenal pasti untuk projek itu.
"PR1MA akan membangunkan 50,000
buah rumah manakala tambahan 30,000 unit rumah akan dibina melalui kerjasama
dengan pemaju swasta.
"Kami akan menyediakan unit yang
berpatutan untuk memenuhi keperluan penduduk bandar," katanya.
Mutalib berkata individu dan pasangan
suami isteri dengan pendapatan isi rumah bulanan kolektif antara RM2,500 dan
RM7,500 sebulan layak untuk mendaftar untuk rumah PR1MA.
Hartanah bertingkat dan di atas tanah
berharga antara RM100,000 dan RM400,000.
Katanya PR1MA menggunakan definisi
fleksibel untuk pendapatan isi rumah yang layak bagi membolehkan ahli keluarga
yang layak juga boleh mendaftar secara individu.
Pemohon mestilah rakyat Malaysia yang
berumur 21 ke atas dan yang tidak memiliki lebih daripada satu rumah dan
bekerja atau tinggal di kawasan di mana projek itu sedang dibangunkan.
Mutalib berkata pemohon boleh
menyenaraikan lima lokasi pilihan, sambil menambah mereka akan dimaklumkan
tentang pengundian projek PR1MA akan datang melalui e-mel atau SMS.
"Satu sistem pendaftaran terbuka
akan digunakan PR1MA di mana sesiapa yang layak boleh memohon. Pengundian akan
diaudit secara bebas dan dilakukan secara telus.
Beliau berkata Akta PR1MA 2012 mula
berkuat kuasa pada 1 Januari yang akan memastikan pelaksanaan projek perumahan
PR1MA berada pada landasan sepatutnya.
Akta ini akan membuka jalan terhadap
penubuhan Majlis Penasihat PR1MA yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri
manakala Jawatankuasa Kelulusan dan Pelaksanaan akan mengurangkan kerenah
birokrasi.
Berdasarkan kaji selidik yang
dijalankan pada tahun 2009, lebih daripada 850,000 orang dengan pendapatan
antara RM2,500 dan RM7,500 sebulan tidak membeli rumah sendiri.
Kira-kira 60 peratus daripada
permintaan untuk rumah mampu milik adalah dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor,
Pulau Pinang, Pahang, Sabah dan Sarawak. mStar