SHAH ALAM: Kerajaan Selangor semalam
memutuskan dua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipasang di
negeri itu ditutup mulai esok.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat selepas Kementerian Pengangkutan tidak
memberi maklum balas terhadap surat dihantar pihak berkuasa tempatan menuntut
kementerian itu mematuhi prosedur pemasangannya.
“Yang Dipertua Majlis Perbandaran
Sepang (MPS) sudah menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan tetapi mereka
tidak menghiraukannya.
“Kami sudah selesai fasa pertama
iaitu menulis surat, dan selepas ini akan menutup kamera itu supaya ia tidak
berfungsi dan jika masih tiada permohonan pembangunan dihantar kementerian
dalam masa 14 hari, kami akan membuat keputusan lain, termasuk kemungkinan
menanggalkan kamera berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas
menyampaikan watikah pelantikan ketua kampung kepada lebih 400 pemimpin
tempatan di sini, semalam.
Terdahulu, EXCO Kerajaan Negeri,
Ronnie Liu, berkata kamera yang mengesan kesalahan lalu lintas pengguna jalan
raya itu yang dipasang di Kilometer 6.6 Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE)
dan Kilometer 301.6 Lebuh Raya Utara-Selatan akan ditanggalkan, esok.
Katanya, keputusan menanggalkan
kamera itu kerana kata dua yang diberikan kepada kontraktor AES untuk berbuat
demikian dalam tempoh dua minggu, sudah pun berakhir.
Katanya, kerajaan negeri menganggap
pemasangan kamera itu sebagai binaan haram kerana kontraktor gagal memohon
mendapatkan kebenaran arahan pembangunan.
Bagaimanapun, Liu yang turut hadir
pada sidang akhbar bersama Khalid berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk
menyemak semula keputusan berkenaan.
“Kami memutuskan untuk mengubah
strategi. Kami akan menutup kamera itu pada jam 2.30 petang, Jumaat ini. Saya
sendiri akan berada di sana bagi memantaunya,” katanya. BHarian
No comments:
Post a Comment