PETALING JAYA: Pendaftaran permohonan
pemilikan rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan
dilaksanakan secara online (dalam talian) mulai Sabtu ini, bagi proses
pengundian.
Ia menggantikan sistem manual secara
pos yang digunakan sebelum ini dan boleh diakses melalui laman web www.pr1ma.my
selepas dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
di Pulau Pinang, Sabtu ini.
Sistem pendaftaran yang bertujuan
mengumpul data utama pemohon itu juga bertujuan mendapat maklumat mengenai
permintaan rumah masa kini sesuai dengan kumpulan sasar yang ratarata mempunyai
kemudahan internet.
Ketua Pegawai Eksekutif Unit PR1MA,
Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata selain menjadi cara utama untuk memohon,
sistem ini juga akan menentukan kelayakan seseorang pemohon di samping
memperoleh data lain seperti permintaan rumah masa kini, jenis rumah dan
kemampuan mengikut tangga gaji tertentu.
“Ini bukan saja akan memudahkan
pelaksanaan pembinaan mengikut permintaan terkini, malah dapat memastikan
proses cabutan dijalankan dengan telus kerana ia akan dipantau firma akauntan
bertauliah dalam mengendalikan audit dengan semua pemohon yang mempunyai
peluang sama rata,” katanya dalam taklimat kepada media, di sini, semalam.
Mereka yang berminat memohon perlu
mengikuti kriteria seperti mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500
hingga RM7,500 sebulan, warga negara Malaysia berumur 21 tahun ke atas dan
tidak mempunyai rumah lebih dari satu.
Mutalib berkata, melalui peruntukan
diberikan kerajaan, pihaknya akan memulakan pembinaan hampir 50,000 rumah PR1MA
tahun depan khusus bagi individu bujang atau berkeluarga yang tinggal di
kawasan bandar.
“Mereka yang layak diharap segera
mendaftarkan diri dan pihaknya juga akan menjalankan beberapa proses cabutan
undi dalam tempoh dua ke tiga bulan akan datang.
“Maklumat terkini mengenai pembukaan
pembinaan baru di bawah projek PR1MA ini akan dimaklumkan kepada pemohon
melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel mengikut pilihan kawasan
mereka yang pilih ketika proses pendaftaran,” katanya.
Katanya, nama bagi pemohon yang sudah
berdaftar akan kekal dalam sistem sehingga terpilih dalam cabutan untuk
memiliki rumah, sebarang penambahan maklumat seperti pertukaran status boleh
dikemas kini dari semasa ke semasa. BHarian
No comments:
Post a Comment