SHAH ALAM –
Orang Melayu masih belum selamat bukan hanya kerana perlu berhadapan Pilihan
Raya Umum (PRU) yang biasa, sebaliknya satu pemilihan yang bakal menentukan
percaturan survival di masa depan.
Dalam
mencapai matlamat itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata,
orang Melayu sebenarnya boleh membuat keputusan sama ada yang akan mendatangkan
kebaikan ataupun keburukan terhadap masa depan bangsa mereka sendiri.
Beliau
berkata, terdapat dua senario masyarakat Melayu hari ini iaitu mereka yang
sedar dan tidak sedar tentang nasib bangsa Melayu.
“Bagi yang
sedar mereka akan kekalkan kedudukan ini, bagi yang tidak sedar mereka akan
kata keadaan sekarang adalah biasa dan kita tidak perlu identiti diri kita
sebagai Melayu lagi dan kita juga akan berjaya.
“Saya
berpendapat walaupun sudah ada orang Melayu yang berjaya, tetapi umumnya masih
ramai tidak berjaya dan tidak mungkin berjaya jika tidak beri tongkat
(bantuan),” katanya pada program Bicara Minda di Kompleks Media Karangkraf,
semalam.
Antara yang
hadir isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Pengarah Urusan Kumpulan
Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri
Musa Hassan; bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Datuk Abdul Rahim
Hassan dan bekas Ahli Parlimen Shah Alam yang juga bekas Setiausaha Politik Dr
Mahathir, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin.
Pada
program itu, Dr Mahathir turut melancarkan buku
Berani Tanpa Segan tulisan Tan Sri Abdullah Ahmad, kompilasi artikel
yang disiarkan setiap hari Ahad di Sinar Harian.
Menurut Dr
Mahathir, berdasarkan kejayaan orang Melayu hari ini, beliau berpendapat
sekiranya bantuan awal tidak diberi belum pasti kejayaan tersebut dapat diraih.
Katanya,
terdapat generasi muda yang beranggapan apa salahnya jika kemelayuan itu
dilupakan dan diganti dengan konsep Malaysia.
"Apabila
datang pendapat seperti itu dan tiada penjelasan diberi maka, wujud idea yang
kata kita tidak perlu utamakan bangsa Melayu kita itu.
"Jadi,
kita akan ketepikan keperluan kita, dan fikir kehidupan kita terus maju kerana
kita orang Malaysia yang hidup dalam negara cukup maju,” katanya.
Katanya,
zaman sekarang, masyarakat Melayu beranggapan mereka sudah selamat.
"Hakikatnya,
Melayu masih belum selamat. Kalau boleh, sedarkan mereka, jangan terlalu
mengutamakan kepentingan diri dan fahaman kolot.
"Pas
hanya memperalatkan masyarakat Melayu dengan agama Islam untuk kepentingan
parti untuk menang dalam pilihan raya," katanya.
Dalam
pertemuan yang sama, Dr Mahathir turut menjelaskan masyarakat Melayu di negara
ini masih tidak bersatu, berbeza dengan zaman pemerintahan British.
"Dulu
masyarakat Melayu setia kepada raja dan negeri dan mereka tidak anggap sebagai
bangsa Melayu. Tapi, apabila tertekan, mereka mula bersatu.
"Cuma,
masalahnya, ketika itu mereka miskin, tiada senjata dan tidak ada pemimpin.
Penyatuan itu berjaya mengalahkan British," katanya.
Menyentuh
pelbagai aspek berkaitan dengan masa depan politik orang Melayu, Dr Mahathir
berkata, masa depan orang Melayu adalah berdasarkan apa yang difikirkan dan
kebolehan bangsa itu membuat pertimbangan, terutamanya sejauh mana kecekapan
mereka untuk meneka apa yang akan serta sudah berlaku. – Sinar Harian