Showing posts with label Tun M. Show all posts
Showing posts with label Tun M. Show all posts

Friday, January 3, 2014

TUN M GEMBIRA DENGAN 11 LANGKAH PENJIMATAN PERBELANJAAN KERAJAAN
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad gembira dengan 11 langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu.
Bekas Perdana Menteri berkata, ia adalah komitmen tinggi kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat berikutan kesan kenaikan kos sara hidup sekarang.
Mengenai perhimpunan haram pihak yang mengganggu sambutan ambang tahun baharu di Dataran Merdeka malam tadi, Dr Mahathir berkata kumpulan minoriti rakyat melanggar hak majoriti rakyat yang ingin menyambut tahun baru dengan aman.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu 2014 anjuran Parti Progresif Penduduk (PPP) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, sebentar tadi.
Sumber: Berita Harian

Friday, December 27, 2013

PAS SOKONG KENYATAAN DR M

SHAH ALAM - Pas menyokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan mengurangkan kos pengeluaran bagi meningkatkan tahap ekonomi negara berbanding menaikkan harga barangan.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Ini yang sepatutnya. Cukup-cukuplah membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan barangan. 

“Saya akui harga barangan tidak akan konsisten pada satu tahap (akan ada kenaikan) namun kerajaan juga harus pastikan kenaikan yang berterusan perlu berlaku dari sudut pendapatan rakyatnya,” kata beliau.

Menurut beliau, penerokaan sumber-sumber baharu merupakan alternatif terbaik dalam menjana  ekonomi negara, sekali gus  menghalang kerajaan untuk melaksanakan sebarang kenaikan.

"Langkah itu penting memandangkan Malaysia sedang mengalami masalah dalam meningkatkan produktiviti khususnya dalam sektor ekonomi.

“Syarikat gergasi tempatan seperti Petronas perlu memperbanyakkan lagi penerokaan telaga-telaga minyak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian


Tuesday, July 23, 2013

SYIAH LEMAHKAN UMAT ISLAM – TUN M

ALOR SETAR - Penularan fahaman Syiah melemahkan lagi umat Islam di negara ini dan mewujudkan perpecahan selepas berlaku perpecahan disebabkan faktor politik.
 
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila wujudnya dua kelompok antara Syiah dan Sunni, berlakunya permusuhan sehingga berperang serta saling berbunuhan.

Beliau berkata, keadaan sedemikian dapat dilihat berlaku di Pakistan dan Iran.

“Kita di sini bernasib baik kerana semua berpegang kepada Ahli Sunnah wal Jamaah. Kita orang Sunni pengikut mazhab Imam Shafie.

“Jadi sepatutnya, tak adalah perbezaan agama antara kita (umat Islam)... tak ada permusuhan. Bila masuk fahaman yang berbeza ini akan berlaku perpecahan,” katanya ketika meluangkan masa untuk membeli-belah di Pekan Rabu, semalam.

Dr Mahathir berkata, umat Islam adalah bersaudara sebaliknya apabila wujud fahaman berlainan akan membawa pelbagai masalah.

“Tak eloklah kalau kita tengok di Malaysia ada masjid untuk orang berfahaman Syiah dan ada masjid untuk mereka yang Sunni. Sehingga kini kita pergi ke masjid yang sama, kita tidak harus berpecah.

“Mereka (Syiah) nak faham agama mereka begitu, mereka punya masalah tetapi jangan sampai bawa ke negara kita,” katanya.

Ditanya pendapat beliau agar fatwa anti-Syiah diwartakan di negeri-negeri lain seperti yang dicadangkan Kerajaan Kedah, Dr Mahathir berkata, pihak berkenaan perlu membuat kajian teliti.

“Mereka patut kaji. Saya fikir alasan yang saya berikan perlu dipertimbangkan. Ini kerana kalau berlaku perpecahan kalangan orang Islam, mereka akan menjadi lebih lemah.

“Sekarang dah lemah dah... berpecah sebab politik, ini mai satu lagi pecahan dalam agama habis bergaduhlah kita,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Kedah mencadangkan untuk menggazet fatwa anti Syiah di negeri ini selepas dikuatkuasakan sepenuhnya di peringkat kebangsaan pada 5 Mei 1996.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu dibuat berikutan Kedah juga tidak bebas daripada penularan fahaman itu.

Sebelum ini, muzakarah khas Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. – Sinar Harian

Thursday, July 18, 2013

AKTA: JANGAN GUBAL SESUKA HATI -  TUN M
PUTRAJAYA - Undang-undang atau akta yang telah digubal dan dilaksanakan dengan baik tidak perlu diubah sewenang-wenangnya kerana boleh mencetuskan masalah kepada negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, undang-undang yang telah dilaksanakan tidak sepatutnya ditukar sesuka hati ekoran desakan mana-mana pihak kerana hanya akan mendatangkan keburukan.

Beliau berkata, rakyat negara ini hidup secara aman dan harmoni serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain sebelum ini kerana adanya undang-undang dan akta tertentu yang dijadikan panduan.

"Namun, kini semuanya berubah apabila undang-undang tertentu termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan sehinggakan ada pihak yang berani menghina Islam.

"Mereka sekarang berani kata macam-macam kepada agama kita, dulu perkara ini tidak pernah terjadi, bila tiada undang-undang sedemikian inilah yang terjadi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang hasrat kerajaan untuk mewujudkan undang-undang baharu bagi menggantikan Ordinan Darurat (EO) dan Akta Hasutan 1948.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu fikir secara mendalam sekarang untuk melaksanakan Akta Keharmonian Nasional.

"Dulu ada macam-macam undang-undang dan akta, itu yang membuatkan kita harmoni, sekarang bila undang-undang tiada, rakyat bebas," katanya.

Mengulas tentang pertemuan dengan Perkasa, Dr. Mahathir berkata, pertemuan tertutup itu lebih kepada luahan rasa tidak puas hati pertubuhan itu terhadap beberapa isu kebelakangan ini.

Dalam pada itu, diminta mengulas tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Dr. Mahathir berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana khuatir negara akan menjadi mangsa pihak tertentu.

"Malaysia kena teliti sedalam-dalamnya sebelum menandatangani TPPA, saya khuatir kita akan menjadi mangsa. Ini adalah cubaan Amerika Syarikat untuk menguasai negara kita. Mereka sebenarnya takut kepada China, terbukti apabila negara berkenaan tidak dijemput untuk menyertai TPPA," katanya. - Utusan Online

Wednesday, June 19, 2013

TIDAK PERLU LAYAN PEMBANGKANG - TUN M

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak perlu mendengar dan melayan sebarang desakan daripada pembangkang.

Menurut beliau, ini kerana pembangkang tidak ikhlas untuk membawa pembaharuan yang memberi kebaikan sebaliknya hanya mengambil atau mereka-reka sesuatu isu untuk menumbangkan kerajaan.

"Pada pendapat saya, apabila pembangkang cakap sesuatu, jangan layan mereka, selama 23 tahun (menjadi Perdana Menteri) saya tidak melayan mereka.

"Pembangkang akan sentiasa menuduh kerajaan menipu, apabila mereka mahukan penggunaan dakwat kekal dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan kerajaan akur pada permintaan itu, namun mereka tetap tidak menghargainya.

"Mereka tidak berminat untuk menjadikan perkara lebih baik atau pilihan raya bersih, mereka hanya mahukan isu dan di sebalik semua permintaan ditunaikan termasuk membenarkan pengundi-pengundi yang berada di luar negara, mereka tetap tuduh kerajaan menipu," katanya ketika berucap dalam Forum Ketua Pegawai Eksekutif 2013 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, beliau bagaimanapun melihat beberapa parti pembangkang semakin matang apabila dua parti iaitu DAP dan Pas tidak menyokong demonstrasi yang dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Politik tidak selalunya rasional, pembangkang menggunakan segala isu untuk menuduh kerajaan menipu, mereka boleh tuduh perkara itu tetapi jangan buat kekacauan di negara ini, sekiranya kita menjadi matang, negara ini ada masa depan yang lebih baik," katanya.

Katanya, beliau bersyukur rakyat Malaysia tidak mempunyai budaya ganas namun hak kebebasan bersuara tidak sewajarnya disalahgunakan dan perkara itu perlu dikawal selia untuk menjaga keamanan serta kestabilan negara.

Katanya, usaha juga perlu dilakukan untuk memperkukuhkan integrasi serta perpaduan rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama.

Menurutnya, matlamat itu boleh dicapai dengan setiap rakyat Malaysia memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dan setiap pelajar tanpa mengira bangsa mendapat pendidikan di sistem sekolah yang sama.

Dalam pada itu, menurut Dr. Mahathir, beliau percaya kepada sistem demokrasi, namun beliau berpendapat kerajaan perlu kuat bagi menghadapi cabaran yang bukan sahaja datang dari dalam negara tetapi juga luar negara.

"Sekiranya kerajaan lemah, pelaksanaan polisi dan undang-undang menghadapi kesukaran, lagipun kita memerlukan tempoh masa untuk satu-satu idea direalisasikan," katanya. –Utusan Online

TUN M AKUI KESILAPAN TIDAK SEKAT INTERNET SEMASA BERKUASA

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapannya semasa masih berkuasa kerana memberi jaminan tidak akan menyekat internet, ia ekoran keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini dimana media baru banyak memainkan peranan.

Dr Mahathir berkata, beliau kini terpaksa menimbang semula keputusannya selepas memberikan kebebasan penuh internet semasa mengetuai Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996.

"Ketika saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet.

"Saya beritahu dia tidak, kami akan jadi sangat bebas... tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali," kata beliau semasa berucap pada majlis penutup CEO Forum 2013 di Berjaya Times Square Convention Centre disini.

Beliau juga berkata tidak menyangka keputusannya tersebut menyebabkan perubahan yang drastik sehingga ia disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab hinggakan orang ramai mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi antara satu sama lain.

"Bila berikan kebebasan, kamu fikir tiada banyak yang akan berubah tapi sekali kamu beri mereka kebebasan, mereka cenderung menyalahgunanya.

"Sekarang kamu lihat orang ramai melakukan provokasi antara satu sama lain, kenyataan-kenyataan tersebut menyebabkan kita semua tidak dekat antara satu sama lain," katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berjanji tidak akan melakukan sekatan terhadap Internet, namun akan mendekati rakyat Malaysia melalui media sosial.

Najib menegaskan kerajaan tidak akan bertindak melesenkan portal berita dan blog sebagaimana dilakukan negara jiran, bagaimanapun, katanya, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan tetap menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Media sosial, terutamanya Facebook dan Twitter, telah diakui menjadi sebahagian daripada pencetus "Arab Spring" di Mesir apabila rakyat negara itu menuntut presiden mereka Hosni Mubarak untuk meletak jawatan.

Kira-kira 13.6 juta pengguna Facebook di Malaysia dari 28.3 juta penduduk, mewakili 48 peratus dari keseluruhan penduduk, menurut laman web socialbakers.com.

Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan. – The Malaysian Insider

Friday, June 14, 2013

KERAJAAN JANGAN BERLEMBUT KEPADA PEMBANGKANG – TUN M

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada pembangkang yang berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara.

“Kita perlu keras sikit jangan bagi muka sangatlah,” katanya.

Beliau berkata, sikap pembangkang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mengiktiraf pilihan rakyat bertukar sekelip mata apabila mereka gagal memperoleh sokongan majoriti rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas.

“Mereka hendak iktiraf pilihan rakyat tapi sekarang hendak jatuhkan kerajaan. Bila sistem demokrasi dilaksana mereka tolak sisitem itu. Bagi mereka demonstrasi jalanan adalah demokrasi,” katanya. – Bernama/The Malaysian Insider

KD: Sokong saranan Tun..

Friday, June 7, 2013

SIKAP DAP PUNCA PERPECAHAN KAUM – TUN M

KUALA LUMPUR 6 Jun - Perpecahan kaum yang semakin serius kini adalah disebabkan sikap DAP yang menolak 'semangat perkongsian' antara kaum khususnya melibatkan Melayu, Cina dan India, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri, hal itu kerana DAP mahukan orang Cina yang telah mendominasi ekonomi, menunjukkan penguasaan seterusnya iaitu dalam bidang politik di negara ini.

Malah jelasnya, perkara itu dikuatkan lagi menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila DAP memainkan sentimen perkauman untuk menarik sokongan pengundi Cina daripada Barisan Nasional (BN) dengan menggambarkan MCA sebagai 'pak turut' UMNO.

"Walaupun DAP mendakwa sebuah parti pelbagai kaum, secara faktanya ia adalah parti orang Cina dengan anggota dan pemimpin utamanya adalah orang Cina. Apabila mereka mengadakan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) baru-baru ini, selain Karpal Singh, semua anggota yang dipilih adalah orang Cina.

"Kebencian terhadap orang Melayu telah dimulakan melalui slogan Malaysian Malaysia dengan gambaran bahawa orang bukan Melayu telah didiskriminasi atau dianggap rakyat kelas kedua," katanya seperti dipetik dalam blognya, http://chedet.cc hari ini.

Dr. Mahathir memberitahu, penyokong meritokrasi dan puak ekstremis Cina dalam DAP turut mendakwa kerajaan BN telah melakukan diskriminasi dengan mengutamakan orang Melayu dalam banyak perkara.

"Untuk itu setiap kali polisi kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dipertahankan, orang yang mempertahankannya sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dilabel sebagai rasis," ujarnya.

Jelas beliau, jika lebih banyak bukti diperlukan mengenai peranan puak rasis Cina dalam pilihan raya umum lalu, demonstrasi menuduh BN menipu ketika pilihan raya walaupun dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), kebanyakannya dihadiri oleh orang Cina terutama golongan muda kaum itu.

"Sama ada di dalam mahupun di luar negara, golongan muda Cina memakai baju hitam. Kurangnya rasa hormat terhadap bendera Malaysia ditunjukkan belia Cina di Taiwan dengan menterbalikkan bendera.

"Protes-protes ini kelihatan bersifat urusan orang Cina manakala Pas dilihat seakan tidak menyokong," tegasnya.

Katanya, pakatan pembangkang bukanlah satu bentuk gabungan sebenar tetapi hanyalah 'pakatan pilihan raya' untuk menentang BN.


"Pakatan itu jelas memberi untung kepada cauvinis Cina dalam DAP sementara Pas, parti yang mempunyai paling ramai Melayu dalam pakatan pembangkang mendapat untung yang kecil," tambahnya. –Utusan Online