KUALA LUMPUR 6 Jun - Perpecahan kaum
yang semakin serius kini adalah disebabkan sikap DAP yang menolak 'semangat
perkongsian' antara kaum khususnya melibatkan Melayu, Cina dan India, kata Tun
Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Perdana Menteri, hal
itu kerana DAP mahukan orang Cina yang telah mendominasi ekonomi, menunjukkan
penguasaan seterusnya iaitu dalam bidang politik di negara ini.
Malah jelasnya, perkara itu dikuatkan
lagi menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 apabila DAP memainkan sentimen
perkauman untuk menarik sokongan pengundi Cina daripada Barisan Nasional (BN)
dengan menggambarkan MCA sebagai 'pak turut' UMNO.
"Walaupun DAP mendakwa sebuah
parti pelbagai kaum, secara faktanya ia adalah parti orang Cina dengan anggota
dan pemimpin utamanya adalah orang Cina. Apabila mereka mengadakan pemilihan
Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) baru-baru ini, selain Karpal Singh, semua
anggota yang dipilih adalah orang Cina.
"Kebencian terhadap orang Melayu
telah dimulakan melalui slogan Malaysian Malaysia dengan gambaran bahawa orang
bukan Melayu telah didiskriminasi atau dianggap rakyat kelas kedua,"
katanya seperti dipetik dalam blognya, http://chedet.cc hari ini.
Dr. Mahathir memberitahu, penyokong
meritokrasi dan puak ekstremis Cina dalam DAP turut mendakwa kerajaan BN telah
melakukan diskriminasi dengan mengutamakan orang Melayu dalam banyak perkara.
"Untuk itu setiap kali polisi
kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dipertahankan, orang yang
mempertahankannya sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
akan dilabel sebagai rasis," ujarnya.
Jelas beliau, jika lebih banyak bukti
diperlukan mengenai peranan puak rasis Cina dalam pilihan raya umum lalu,
demonstrasi menuduh BN menipu ketika pilihan raya walaupun dianjurkan oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Parti Keadilan Rakyat (PKR), kebanyakannya
dihadiri oleh orang Cina terutama golongan muda kaum itu.
"Sama ada di dalam mahupun di
luar negara, golongan muda Cina memakai baju hitam. Kurangnya rasa hormat
terhadap bendera Malaysia ditunjukkan belia Cina di Taiwan dengan
menterbalikkan bendera.
"Protes-protes ini kelihatan
bersifat urusan orang Cina manakala Pas dilihat seakan tidak menyokong,"
tegasnya.
Katanya, pakatan pembangkang bukanlah
satu bentuk gabungan sebenar tetapi hanyalah 'pakatan pilihan raya' untuk
menentang BN.
"Pakatan itu jelas memberi
untung kepada cauvinis Cina dalam DAP sementara Pas, parti yang mempunyai
paling ramai Melayu dalam pakatan pembangkang mendapat untung yang kecil,"
tambahnya. –Utusan Online
No comments:
Post a Comment