PETALING
JAYA: Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi
membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.
Pembubaran
berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan
khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.
Menurut
Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika
beliau menghadap baginda awal pagi Rabu.
"Pada
pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah
kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.
"Sehubungan
itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun
memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini,"
katanya.
Beliau
sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.
Pada sidang
media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri
mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan
Undangan Negeri.
"Saya
menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap
ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN
masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh
negara," katanya.
Sementara
itu Najib turut menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada PRU
akan datang supaya mengamalkan prinsip demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan
kestabilan nasional.
"Semua
parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini
perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat
terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak
wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan
raya yang bakal diadakan.
"Insaflah
dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana
taktik ini telah cuba diguna pakai.
Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan
raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang
dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak
rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan,
kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," katanya.– mStar
Online