KRONOLOGI: APA YANG
TERJADI SELEPAS PARLIMEN DIBUBARKAN...
Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akhirnya menamatkan segala teka-teki
dengan mengumumkan pembubaran parlimen penggal ke-12 berkuatkuasa Rabu, 3 April
2013.
Kebetulan
pula, 3 April genap beliau menerajui negara sebagai perdana menteri.
Kini apakah
yang akan berlaku selepas parlimen dibubarkan?
-Melainkan
Sarawak yang telah pun mengadakan pilihan raya negeri tahun lalu dan Dewan
Undangan Negeri Sembilan yang telah terbubar dengan sendirinya minggu lalu,
kini setiap negeri akan memutuskan bilakah mereka mahu membubarkan dewan
undangan negeri masing-masing.
-Najib
selaku perdana menteri tidak mempunyai kuasa ke atas pembubaran dewan undangan
negeri.
-Sebaliknya
kuasa itu terletak di bahu dan tangan menteri-menteri besar dan ketua menteri.
-Sebab
itulah di dalam ucapan secara langsungnya mengumumkan pembubaran parlimen,
Najib sekadar menasihati kerajaan-kerajaan negeri agar mengadap ketua negeri
masing-masing (sultan dan gabenor) bagi mendapatkan perkenan agar pilihan raya
dapat dijalankan serentak di seluruh negara.
-Lazimnya,
negeri-negeri termasuklah yang diketuai oleh pembangkang akan turut sama
membubarkan dewan undangan negeri secara serentak bagi memudahkan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) menyusun tarikh penamaan calon dan juga tarikh mengundi.
-Pengumuman
mengenai tarikh pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri akan membolehkan
Yang Dipertua atau speaker parlimen/dewan undangan memaklumkan kepada SPR
mengenai pembubaran tersebut secara rasmi.
-Bagi
persekutuan, sudah tidak menjadi masalah kerana pengumuman telah dibuat secara
langsung ke seluruh negara cuma menunggu surat rasmi daripada pejabat perdana
menteri sahaja.
-Manakala
bagi negeri-negeri pula, speaker dewan perlu menunggu menteri besar atau ketua
menteri mengadap dan mendapat perkenan daripada ketua negeri masing-masing.
-Bagaimanapun,
Dewan Negara tidak terlibat atau terjejas ekoran pembubaran parlimen kerana ia
terdiri daripada anggota-anggota yang dilantik dan bukan dipilih menerusi
proses pilihan raya.
-Selepas menerima
pemakluman mengenai pembubaran dewan, SPR kemudiannya akan memanggil mesyuarat
penuh yang terdiri daripada anggota-anggota suruhanjaya bagi menentukan
perkara-perkara berkaitan dengan pilihan raya dan tarikh penamaan calon.
-SPR
mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya mulai tarikh pembubaran
parlimen dan juga dewan-dewan undangan negeri.
-Apabila SPR
telah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan hari penamaan calon dan
juga pemilihan, mereka akan memanggil satu sidang akhbar khas untuk
memaklumkannya kepada umum.– mStar Online
No comments:
Post a Comment