Showing posts with label bubar. Show all posts
Showing posts with label bubar. Show all posts

Wednesday, April 3, 2013

PARLIMEN DIBUBAR HARI INI
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah 
berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan)
 bagi memohon perkenan baginda untuk 
pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara di sini hari ini

PETALING JAYA: Parlimen Malaysia penggal ke-12 dibubar secara rasmi pada Rabu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan.

Pembubaran berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut Najib, pembubaran berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika beliau menghadap baginda awal pagi Rabu.

"Pada pagi ini saya telah pun menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen ke-12 dibubarkan pada hari ini.

"Sehubungan itu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah pun memperkenankan agar Parlimen ke-12 dibubarkan berkuat-kuasa hari ini," katanya.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet terkahir di Putrajaya.

Pada sidang media khas itu juga Perdana Menteri meminta semua ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan daripada ketua negeri masing-masing bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

"Saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk menghadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak seluruh negara," katanya.

Sementara itu Najib turut menasihatkan semua parti politik yang akan bertanding pada PRU akan datang supaya mengamalkan prinsip demokrasi demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional.

"Semua parti politik yang memilih untuk terlibat di dalam proses pilihan raya kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan.

"Insaflah dan ambillah iktibar dari apa yang telah berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. 

Kesan akhirnya proses dan keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita," katanya.– mStar Online

KRONOLOGI:  APA YANG TERJADI SELEPAS PARLIMEN DIBUBARKAN...

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akhirnya menamatkan segala teka-teki dengan mengumumkan pembubaran parlimen penggal ke-12 berkuatkuasa Rabu, 3 April 2013.

Kebetulan pula, 3 April genap beliau menerajui negara sebagai perdana menteri.

Kini apakah yang akan berlaku selepas parlimen dibubarkan?

-Melainkan Sarawak yang telah pun mengadakan pilihan raya negeri tahun lalu dan Dewan Undangan Negeri Sembilan yang telah terbubar dengan sendirinya minggu lalu, kini setiap negeri akan memutuskan bilakah mereka mahu membubarkan dewan undangan negeri masing-masing.

-Najib selaku perdana menteri tidak mempunyai kuasa ke atas pembubaran dewan undangan negeri.

-Sebaliknya kuasa itu terletak di bahu dan tangan menteri-menteri besar dan ketua menteri.

-Sebab itulah di dalam ucapan secara langsungnya mengumumkan pembubaran parlimen, Najib sekadar menasihati kerajaan-kerajaan negeri agar mengadap ketua negeri masing-masing (sultan dan gabenor) bagi mendapatkan perkenan agar pilihan raya dapat dijalankan serentak di seluruh negara.

-Lazimnya, negeri-negeri termasuklah yang diketuai oleh pembangkang akan turut sama membubarkan dewan undangan negeri secara serentak bagi memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyusun tarikh penamaan calon dan juga tarikh mengundi.

-Pengumuman mengenai tarikh pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri akan membolehkan Yang Dipertua atau speaker parlimen/dewan undangan memaklumkan kepada SPR mengenai pembubaran tersebut secara rasmi.

-Bagi persekutuan, sudah tidak menjadi masalah kerana pengumuman telah dibuat secara langsung ke seluruh negara cuma menunggu surat rasmi daripada pejabat perdana menteri sahaja.

-Manakala bagi negeri-negeri pula, speaker dewan perlu menunggu menteri besar atau ketua menteri mengadap dan mendapat perkenan daripada ketua negeri masing-masing.

-Bagaimanapun, Dewan Negara tidak terlibat atau terjejas ekoran pembubaran parlimen kerana ia terdiri daripada anggota-anggota yang dilantik dan bukan dipilih menerusi proses pilihan raya.

-Selepas menerima pemakluman mengenai pembubaran dewan, SPR kemudiannya akan memanggil mesyuarat penuh yang terdiri daripada anggota-anggota suruhanjaya bagi menentukan perkara-perkara berkaitan dengan pilihan raya dan tarikh penamaan calon.

-SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya mulai tarikh pembubaran parlimen dan juga dewan-dewan undangan negeri.

-Apabila SPR telah menetapkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan hari penamaan calon dan juga pemilihan, mereka akan memanggil satu sidang akhbar khas untuk memaklumkannya kepada umum.– mStar Online

Friday, March 29, 2013

TARIKH AKHIR PEMBUBARAN PARLIMEN 30 APRIL – SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis memperjelaskan bahawa tarikh sebenar pembubaran Dewan Rakyat secara automatik ialah pada 30 April dan bukan 28 April seperti yang banyak dilaporkan sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini berikutan tarikh 28 April itu jatuh pada hari Ahad.

Beliau berkata tempoh matang dibawa ke hari Isnin, 29 April dan Dewan Rakyat akan terbubar secara automatik pada tengah malam hari itu bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diadakan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.

"Perubahan tarikh itu adalah berdasarkan peraturan yang ditetapkan SPR dan disahkan oleh bahagian undang-undang suruhanjaya ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Ini adalah pengiraan yang dibuat oleh bahagian undang-undang SPR di mana ada tarikh-tarikh cuti yang tidak boleh dikira," katanya.

Sebelum ini, banyak pihak membuat andaian bahawa Dewan Rakyat sepatutnya terbubar sendiri pada 9 Mac lepas berikutan PRU ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun pilihan raya umum dikira berdasarkan tarikh hari pertama Dewan Rakyat bersidang selepas pilihan raya umum diadakan, bukan berdasarkan tarikh pilihan raya berlangsung.

Dewan Rakyat bersidang buat kali pertama pada 28 April 2008, iaitu 51 hari selepas tarikh PRU ke-12. - BERNAMA/mStar