KELANTAN
SEDIA LAKSANA HUDUD
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata,
pihaknya mempunyai kemudahan mencukupi untuk melaksana hukum Islam itu.
Walau bagaimanapun, kata beliau, Kerajaan Pas Kelantan perlu
menambah jumlah hakim sekiranya hukum itu mahu dilaksanakan dalam masa
terdekat.
"Hukum hudud boleh dilaksanakan, undang-undang sudah
ada, lantik hakim sahaja. Mahkamah Syariah sudah bersedia pada bila-bila masa,
kita tidak ada halangan," katanya.
Pelaksanaan hukum hudud di negeri ini menjadi polemik
berpanjangan kerana sering dibangkitkan oleh Pas terutama setiap kali menjelang
pilihan raya umum.
Walau bagaimanapun, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri
Kelantan baru-baru ini, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa menempelak
Kerajaan Pas Kelantan kerana tidak berusaha melaksana hukum tersebut.
Ini kerana Kerajaan Pas Kelantan tidak menunjukkan usaha
mengadakan prasarana terbaik selain menambah bilangan hakim serta pegawai yang
terlibat untuk melaksanakan undang-undang syariah itu.
Sementara itu, Daud berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan
masalah kes tertunggak melibatkan Mahkamah Syariah di negeri ini.
"Sasaran kita kes tidak lebih dari setahun, makna tidak
ada kes tertunggak ialah kes selesai dalam masa setahun paling lama, ada kes
boleh selesai dalam masa sehari sahaja.
"Kita sudah memiliki kemudahan yang terbaik sekarang
termasuk untuk melaksanakan hukum sebat sehingga 100 rotan mengikut
syariah," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia