KUALA
LUMPUR: Kertas putih penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (TALAM) gagal
menutup skandal, sebaliknya bertujuan menyelamatkan syarikat itu.
Ketua Biro
Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong, berkata kertas putih ‘kelabu’ itu
juga jelas menunjukkan pembohongan kerajaan Selangor sebelum ini yang mendakwa
tiada duit rakyat digunakan berhubung isu berkenaan.
“Selepas
perjanjian penyelesaian hutang ditandatangani, kerajaan Selangor pula berhutang
RM30 juta kepada TALAM. Mengapa membeli aset melebihi keperluan sehingga
berhutang dengannya sedangkan sebelum ini mahu mengutip semula hutang itu?
Tipu rakyat
“Ia
terbukti satu tindakan menyelamat yang mana akhirnya rakyat ditipu, manakala
syarikat kerajaan negeri menderita,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di
sini, semalam.
Minggu
lalu, kerajaan Selangor membentangkan kertas putih penstrukturan hutang TALAM
selepas didakwa terbabit dalam skandal urus niaga lebih RM1 bilion sedangkan
hutang syarikat itu hanya berjumlah RM392 juta.
Tee Yong
yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata kertas
putih itu sepatutnya mengandungi transaksi terperinci namun gagal berbuat
demikian dengan hanya memasukkan maklumat sudah diketahui umum.
“Kertas
putih itu juga tiada penjelasan bagaimana RM266 juta diperoleh untuk membayar
kepada pembiaya TALAM bagi aset tanah yang digadaikan syarikat itu.
“Selain
itu, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) terpaksa membuat pinjaman RM230
juta dengan kos faedah RM86 juta, manakala kos KPMG Transaction &
Restructuring Sdn Bhd (KPMG) dan penilai swasta tidak dinyatakan,” katanya, di
sini, semalam. -BHarian