PSM: KAMI TAK 'MELUKUT' UNTUK SERTAI PAKATAN
Setiausaha
Agung PSM, S.Arutchelvan berkata partinya "tidak melukut" untuk
menyertai Pakatan Rakyat (PR) sekalipun memohon untuk menyertai gabungan itu
sebelum pilihan raya.
Katanya,
kongres parti itu selepas pilihan raya umum 2008 memutuskan supaya PSM mengadakan
kerjasama dengan Pakatan Rakyat yang kemudiannya, beberapa pemimpin gabungan
itu "meminta, mengalu-alu dan mengajak" mereka menyertai Pakatan
Rakyat.
Sehinggakan,
katanya, timbul persoalan di kalangan akar umbi Pakatan mengenai keikhlasan PSM
dan ada yang melihat parti itu seolah-olah "terlalu angkuh" untuk
menyertai pakatan itu.
"Bila
kita bincang balik dalam kongres (selepas itu), banyak pandangan. Pandangan
umum ahli-ahli PSM, adalah bahawa kita dengar sentimen rakyat. Kalau sentimen
parti mungkin lain.
"Sentimen
rakyat, mereka mahu lihat satu pasukan lawan Barisan Nasional. Dan mereka mahu
PSM bersama Pakatan Rakyat.
"Sebab
itu dalam surat kita kepada Pakatan Rakyat, kita dengan jelas menyatakan supaya
Pakatan menilai opsyen-opsyen ini. Kita sedia mendengar tetapi pada masa yang
sama kita hendak bincang masak-masak," katanya dalam wawancara
Malaysiakini kelmarin.
Beliau berkata
demikian bagi menjawab persoalan mengenai tanggapan pelbagai pihaknya yang
mendakwa PSM "terhegeh-hegeh" untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Parti berprinsip
Menurut
Arutchelvan, pihaknya menyerah kepada Pakatan untuk membuat keputusan dan parti
itu "ok" sama ada menyertai atau membuat kerjasama dengan gabungan
pembangkang itu.
"Jadi
persoalan itu (terhegeh-hegeh) tidak wujud. Maksud kami, kami tidak melukut
untuk meminta untuk menyertai Pakatan. Kita sebuah parti berprinsip dan kita
buat banyak perkata pun dengan kekuatan kita sendiri," katanya.
Menyifatkan
status permohonan menyertai Pakatan "masih kabur-kabur" ekoran
perbezaan pandangan pemimpinnya, Arutchelvan berkata PSM akan berbincang semula
mengenai perkara itu dalam kongres parti itu akhir bulan ini.
Beliau juga
menggesa Pakatan supaya bertanggungjawab untuk meredakan "kekeliruan"
yang ditimbulkan oleh pemimpin mereka berhubung status permohonan PSM menyertai
Pakatan.
"Andai
kata Pakatan ada membincangkan isu ini, ia harus diberitahu kepada kita. Bagi
kita, persoalan sama ada kita nak mohon semula (atau tidak) terpulang pada
ahli-ahli PSM.
"Kita
(pemimpin PSM) hanya boleh respon selepas kita tahu tentang apa sebenarnya
status (permohonan yang kini) masih kabur," katanya.
Mood akar umbi PSM
Mengulas
lanjut, Arutchelvan berkata mood akar umbi PSM yang berjumlah 14,000 orang
terbahagi kepada dua sama ada terus bekerjasama dengan Pakatan Rakyat atau
membina kuasa ketiga seperti kumpulan-kumpulan yang lain.
Sehubungan
itu, tegasnya, perkara itu juga akan dibangkitkan dalam kongres PSM yang akan
berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini di Cameron Highlands.
Arutchelvan
juga berkata sebelum ini, parti itu mengadakan
kerjasama strategik dengan Pakatan Rakyat dalam memperjuangkan isu yang
melibatkan kepentingan bersama seperti kempen anti-ISA tetapi mungkin ada
perbezaan dalam beberapa isu yang lain.
Isu PSM dikempen dan dipopularkan
Bagaimanapun,
pihaknya gembira kerana beberapa isu seperti pendidikan percuma, akta gaji
minimum dan GST yang pertama kali "dikempen dan dipopularkan" oleh
PSM, telah diterima oleh Pakatan.
"Kita
bukan terikut dengan program mereka. Kita punyai program kita yang sendiri.
Kita melihat kempen pendidikan percuma.
"Kali
pertama isu pendidikan percuma yang dilontarkan oleh PSM, lima tahun yang lalu.
Hari ini menjadi sebahagian daripada manifesto Pakatan," katanya. -Malaysiankini