Showing posts with label boikot. Show all posts
Showing posts with label boikot. Show all posts

Tuesday, June 25, 2013

SIKAP HIPOKRIT AHLI PARLIMEN PEMBANGKANG TERSERLAH

KUALA LUMPUR - Sikap hipokrit pembangkang terserlah selepas kesemua Ahli Parlimen mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Parlimen hari ini.

Tindakan kesemua 89 Ahli Parlimen pembangkang itu sekali gus membuktikan mereka bersetuju dan menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang melayakkan mereka menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Perkara itu juga bertentangan dengan objektif penganjuran beberapa siri perhimpunan haram anjuran pembangkang termasuk yang terakhir di ibu negara Sabtu lalu, kononnya bagi menyampaikan mesej Pilihan Raya Umum Ke-13 penuh penipuan.

Selain itu, keputusan Ahli Parlimen pembangkang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat turut mengecewakan kira-kira 200 penyokong pembangkang yang berhimpun di luar Parlimen bagi membantah sidang pertama Dewan Rakyat penggal ke-13 yang bermula hari ini.

Sebelum ini, pembangkang terutama wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan mempertimbang memboikot majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat hari ini sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13. –Utusan Online

Thursday, June 20, 2013

BATAL BOIKOT PARLIMEN,  SEMUA AHLI PARLIMEN PAKATAN ANGKAT SUMPAH 

Semua Ahli Parlimen (MP) Pakatan Rakyat (PR) akan mengangkat sumpah semasa sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun nanti sebagai menghormati prinsip demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu menegaskan pendirian supaya perlantikan  Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) mestilah seseorang yang tidak berat sebelah dan bukan menjadi jurucakap kepada parti pemerintah sahaja.

"Kami percaya kepada semangat demokrasi berparlimen, oleh sebab itu kami tidak memboikot.. semua ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada 24 Jun nanti.

"Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa kami tidak mahu seorang Speaker yang hanya menurut perintah dan tidak mahu jurucakap Umno berada memegang jawatan tersebut," kata Anwar dalam satu sidang media ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Selain itu, Anwar memberitahu salah satu faktor PR tidak memboikot angkat sumpah adalah kerana mereka berhasrat untuk mencalonkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker ke-13.

"Kami mahu mencadangkan Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Speaker, kami mahukan individu yang dilantik adalah seseorang yang mempunyai integriti dan bebas sepenuhnya," tambahnya lagi.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu pada mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya. – The Malaysian Insider

Friday, June 14, 2013

BOIKOT PARLIMEN: PKR `KESEORANGAN’ GAGAL PUJUK DAP

KUALA LUMPUR – Parti DAP tidak melayan gesaan sekutunya dalam pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya parti itu bersama-sama dengan PKR memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat pada 24 Jun 2013 ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebaliknya memberi jaminan seramai 38 Ahli Parlimen parti tersebut tidak akan memulaukan majlis angkat sumpah itu sebaliknya akan hadir bagi menyempurnakan tanggungjawab mereka selaku wakil rakyat.

“Ahli Parlimen DAP tidak akan memboikot majlis angkat sumpah Dewan Rakyat pada 24 Jun 2013 mahupun sidang-sidang parlimen.

“Memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen tidak dilihat sebagai perbuatan simbolik atau langkah berani dalam memprotes keputusan pilihan raya,” tegasnya melalui satu kenyataan media hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bagaimanapun mendakwa, pakatan pembangkang yang turut dianggotai parti PAS boleh menyatakan pendirian mereka mengenai keputusan pilihan raya dengan lebih berkesan melalui perhimpunan aman di seluruh negara.
  
Pada 7 Jun lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa parti itu mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan.

DAP bagaimanapun menegaskan tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah walaupun parti itu tidak puas hati dengan sistem pilihan raya tetapi akan memfailkan petisyen pilihan raya.

PAS turut memberi reaksi sama berhubung perkara itu dengan membuat pendirian menolak gesaan memulaukan sidang Parlimen sambil menegaskan Ahli Parlimen parti tersebut akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa. – mynewshub.my

Sunday, June 9, 2013

BOIKOT PARLIMEN HANYA RUGIKAN RAKYAT


SHAH ALAM – Hasrat pembangkang terutamanya PKR mahu memboikot sidang Parlimen akan datang hanyalah untuk menunjukkan konsistensi mereka terhadap protes keputusan PRU13 lalu.

Pengarah Pusat Dasar Teknologi dan Kajian Antarabangsa, Kampus Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, sikap itu merugikan pembangkang kerana telah memungkiri janji mereka kepada pengundi.

Katanya, rakyat menaruh harapan kepada mereka sebagai wakil di Parlimen tetapi malangnya tidak disempurnakan dengan penuh tanggungjawab. 

“Sidang Parlimen adalah untuk menggubal undang-undang atau memperhalusi apa jua dasar dan masalah negara.

“Apa jua isu tanpa penglibatan sepenuhnya daripada ahli-ahli parlimen atau pemerintah, maka rang undang-undang mungkin tidak lengkap dan komprehensif,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Oleh yang demikian, katanya, wakil rakyat yang memulaukan Dewan Rakyat ini jangan pula mempersoalkan satu-satu dasar yang diluluskan oleh Parlimen kelak kerana tidak memuaskan hati mereka.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod turut mempunyai pandangan yang sama.

Katanya, tindakan pembangkang yang terus memprotes keputusan PRU13 yang didakwa berlaku penipuan hanyalah mahu mendapat simpati rakyat, tetapi persoalannya sampai bila mereka akan berterusan berbuat begitu.

“Mereka seharusnya memikirkan harapan pengundi,” katanya yang menyifatkan tindakan memboikot itu tidak wajar sama sekali.

Mengulas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan  turut memboikot majlis angkat sumpah sebagai ahli parlimen, Ahmad Kamal berkata, jika gagal berbuat demikian, mereka tidak dapat mewakili rakyat di Parlimen.

“Melalui pilihan raya lalu, mereka mewakili rakyat di kawasan di menangi, tetapi untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen, mereka perlu melaksanakan proses akad sumpah,” katanya.– Sinar Harian