PAS TETAP LAKSANA
HUDUD WALAU DAP BANTAH
SHAH ALAM - Pas tetap akan melaksanakan hukum Hudud di
Kelantan walaupun dibantah DAP, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata rayuan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Pas tidak meneruskan
cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan adalah hanya ideologinya
sendiri.
"Itu hak dia (Karpal) bersuara. Hak kita meneruskan apa
yang kita perjuangkan, itu tidak ada dalam perjanjian Pakatan Rakyat,
masing-masing dengan ideologi masing-masing," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan
Penangguhan pada Muktamar PAS ke-59 di Stadium Malawati Shah Alam di sini, hari
ini.
Abdul Hadi juga berkata kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat
hanyalah melibatkan perkara yang dipersetujui bersama untuk dilaksanakan dan
menegaskan bahawa pandangan berbeza antara mereka adalah hak masing-masing.
Media hari ini melaporkan Karpal sekali lagi berkata DAP
tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara Islam.
Mengulas mengenai barisan kepimpinan Pas Pusat baharu, Abdul
Hadi berkata seramai sembilan orang daripadanya merupakan golongan Ulama dan
selebihnya dari kalangan profesional dan aktivis
Sambil menyatakan rasa puas hati dengan pemilihan yang
dijalankan, beliau berkata barisan kepimpinan itu masih mengimbangi peranan
ulama dan profesional.
Mengenai keluhan anggota perwakilan Sabah dan Sarawak kerana
tiada wakil dari dua negeri itu dipilih menganggotai barisan kepimpinan Pas
Pusat, beliau berkata Pas akan melantik mereka untuk jawatan yang boleh memberi
perhatian khusus terhadap negeri itu. – Bernama
-Sumber: Sinar Harian