PAS SEDIA MUZAKARAH
LAGI DENGAN UMNO
SHAH ALAM - Pas melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan
Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara
ini, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Kalau dia (Umno) kata nak laksanakan Islam dengan
bersungguh-sungguh, mari kita muzakarah.
"Pas bersedia untuk bermuzakarah dengan Umno dalam
usaha pelaksanaan Islam. Media, siar perkara ini.
"InsyaAllah ulama-ulama kita akan turun. Kita ramai
ahli-ahli (pelbagai bidang), dia (Umno) hendak yang tua pun ada, muda pun
ada," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas
ke-59 di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau membangkitkan pelbagai tindakan Umno
berkaitan isu-isu perjuangan Islam termasuk isu penggunaan kalimah ALLAH.
Jelas Abdul Hadi, kesediaan Pas bermuzakarah itu dizahirkan
dari kepakaran dan pemimpin mereka yang menguasai pelbagai bidang profesional
seperti undang-undang, ekonomi dan penguatkuasaan.
"(Marilah) Kita bersatu atas Islam, satu bahtera,
kiblat kita satu, tidak banyak kiblat kita, kiblat kita kiblat Islam dalam
masyarakat majmuk," katanya.
Abdul Hadi dalam pada itu mendakwa Umno, bagi mendapatkan
kuasa memerintah, sanggup menumpukan strategi bagi mendapatkan dan menguasai
undi Melayu semata-mata dan bukannya cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi
mereka.
Menurutnya Umno mengambil pendekatan menabur semangat
kebangsaan bercampur aduk dengan asabiyah (kekitaan) kebangsaan bagi
mendapatkan sokongan Melayu.
Menurutnya pendekatan Pas berbeza yang mana lebih memberi
kefahaman Islam mengikut Al-Quran, ijmak (kesepakatan ulama) dan qias sekaligus
pendekatan ini boleh difahami orang Melayu. – Bernama
-Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment