Showing posts with label muzakarah. Show all posts
Showing posts with label muzakarah. Show all posts

Tuesday, November 26, 2013

JANGAN TANGGUH MUZAKARAH PAS-UMNO

IPOH - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap muzakarah antara Pas dan Umno tidak ditangguhkan dan meminta semua pihak menerima baik kesediaan dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, apa yang diperkatakan Abdul Hadi adalah satu langkah yang telah didendangkan sekian lama namun masih belum terlaksana.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Secara peribadi katanya, bermuzakarah adalah langkah baik dan harus dilihat dengan roh atau semangat ikhlas yang dibuat Abdul Hadi dan kepimpinan Pas.

“Perkara itu bukan satu tawaran hanya kepada Umno atau BN umumnya, tetapi juga kepada kumpulan ulama, cendekiawan Islam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam tanpa mengetepikan agama lain.

“Apabila kita mahu fokus dalam memperjuangkan Islam, kita harus tahu bahawa agama lain harus dihormati,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
MUZAKARAH: BINCANG BERKAITAN ISLAM, BUKAN IDEOLOGI 

MuzakarahKUALA LUMPUR - Kesediaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno hanya berhubung kait dengan Islam dan tidak menyentuh ideologi parti, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Bekas Naib Presiden Pas itu berkata, Umno perlu menyatakan pendiriannya jika benar-benar mahu bekerjasama dengan Pas dalam memastikan syariat Islam dapat dilaksanakan dengan baik di negara ini.

"Sekarang terpulang pada Umno atas apa isu sekalipun. Perkara ini bukan sebab nak sertai Umno.

"Kita setuju nak bekerjasama untuk muzakarah. Isu ini berkaitan dengan pelaksanaan syariat Islam di Malaysia," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, jika Umno serius untuk Malaysia melaksanakan hukum Islam secara sepenuhnya, Umno perlu bersetuju sebagai tanda kesungguhan mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli pula menyifatkan muzakarah itu sangat penting dalam memastikan syariat Islam dipatuhi.

"Cuma terpulang pada keputusan dan kemudian perlaksanaannya. Teorinya sangat baik, tetapi perlaksanaan satu hal yang lain.

"Pelaksanaan berdasarkan kerjasama dari muzakarah itu dan perlu mengikut kesesuaian semasa," katanya.

Sumber: Sinar Harian
TAK BOLEH PRASANGKA BAGI JAYAKAN MUZAKARAH

KUALA LUMPUR - Prasangka buruk tidak boleh wujud dalam kalangan anggota Pas dan Umno sekiranya mahu menjayakan muzakarah antara Pas dengan Umno.

MuzakarahAhli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sudah tiba masanya Pas dan Umno bermuzakarah demi menjaga kepentingan Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini daripada terus dipertikaikan pihak tertentu.

"Kita hendaklah mempunyai prasangka yang baik supaya muzakarah ini berjaya dan umat Islam serta orang Melayu dapat bersatu. Saya sebagai ahli umno sangat mengalu-alukan muzakarah di antara Pas dengan Umno," katanya anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyatakan kesediaan Pas untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha melaksanakan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Zahidi berkata dalam senario politik hari ini DAP sentiasa mempertikaikan hak istimewa orang Melayu termasuk kepentingan Islam iaitu DAP dilihat tidak mempedulikan pandangan Pas sebagai pakatan pembangkang.

"Mereka (DAP) sentiasa mempertikaikan Pas dan tidak ada gunanya mereka (Pas) bersama DAP lagi. Oleh itu maka eloklah diadakan muzakarah kerana sampai masanya umat Islam dan orang Melayu bersatu dan ini merupakan satu tuntutan dalam agama," katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, orang Melayu dan orang Islam perlu duduk berbincang untuk masa depan anak cucu memandangkan sudah ada golongan tertentu yang begitu berani mencabar kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu.

"Ini semuanya berlaku kerana mereka (golongan tertentu) melihat orang Melayu dan Islam begitu lemah sehingga mereka merasakan bahawa mereka yang lebih berkuasa untuk menentukan politik negara kita," katanya.   

Sehubungan itu, katanya sudah sampai masanya muzakarah antara Pas dengan Umno diadakan dan diharapkan dapat menjadi kenyataan.

"Saya menyambut baik dan harap dapat jadi kenyataan. Kita kena duduk berbincang bagaimana hendak pastikan hak kita, kedudukan Melayu dan agama Islam tidak terus dicabar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dari Pas  berkata bermuzakarah adalah satu perkara baik kerana keputusan yang diperoleh menerusi sesuatu muzakarah sangat penting untuk menentukan pentadbiran negara.

"Cuma bagaimana kita lihat kepada keputusan itu...pelaksanaan satu perkara yang lain, itu yang perlu ada muzakarah tetapi pelaksanaan itu adalah berdasarkan kepada keputusan muzakarah, jadi kadang-kadang sesuai atau tidaksesuai, itu yang perlu dilihat dari semasa ke semasa," katanya. – Bernama

Sumber: Sinar Harian


MUZAKARAH: KERAJAAN PERLU BERSUNGGUH - TUAN IBRAHIM

MuzakarahSHAH ALAM - Kerajaan perlu menunjukkan kesungguhannya untuk menyambut baik cadangan Pas yang mahu bermuzakarah.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak boleh sekadar bercakap tetapi perlu memastikan muzakarah yang dicadangkan benar-benar dapat direalisasikan.

Tuan Ibrahim Tuan Man“Sebelum ini, sudah banyak perkara yang kerajaan cakap mahu laksana tetapi ianya tidak berlaku. Jadi, kita harap muzakarah kali ini akan jadi satu kenyataan.

“Tidak boleh hanya bercakap tetapi kena tunjuk kesungguhan. Ini kerana, banyak isu yang dibangkitkan oleh pembangkang perlu diambil perhatian oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ahad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan parti itu melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Kenyataan itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan Umno bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan Pas.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan muzakarah tersebut timbul susulan usul mendesak kerajaan melaksanakan sistem perundangan Islam yang diluluskan dalam muktamar lalu.

Katanya, usul tersebut memerlukan komitmen dan sokongan bersama kerajaan persekutuan.

“Kita akan bawa usul ke Parlimen dan harap disambut baik oleh semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik sebab ini kewajipan. Selain itu, kita akan hantar surat rasmi kepada perdana menteri.

“Di pihak Pas, saya fikir kita sudah menunjukkan kesungguhan untuk bermuzakarah bagi memastikan pelaksanaan pentadbiran Islam dapat dilaksanakan. Selebihnya, kita akan tengok bagaimana respons perdana menteri sebagai ketua pemerintah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian
MUZAKARAH PAS-UMNO: PAS PERLU TULIS SURAT DAHULU

SENAI - Pas perlu membuktikan kesungguhannya untuk mengadakan muzakarah dengan menyatakan tawaran bertulis kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Shahrir SamadAhli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak guna jika hanya bercakap tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan yang positif.

"Jangan hanya cakap di dalam muktamar mereka sahaja, tulis surat kepada Presiden Umno secara rasmi,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno sentiasa terbuka dalam mengadakan muzakarah namun sejauh mana ahli parti itu bersedia mengadakan perbincangan seperti yang dikemukakan pemimpin tertinggi mereka.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat beberapa pemimpin Pas yang menyatakan pandangan agar kedua-dua parti ini mengadakan muzakarah namun sehingga kini tiada sebarang perbincangan diadakan.

Menurutnya, tawaran mengadakan muzakarah ini adalah cadangan yang baik dan patut disambut pemimpin Umno.

“Tetapi, dalam Pas kita dapat lihat beberapa pemimpin yang menyatakan pandangan mengadakan muzakarah dengan Umno tetapi akhirnya tersingkir seperti bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.

“Akhirnya, cadangan ini tidak ke mana dan tiada sebarang muzakarah pernah diadakan antara kedua-dua pihak sehingga kini,” katanya.

Walaupun muzakarah berkenaan berjaya diadakan, katanya, namun beliau yakin kesepakatan antara kedua pihak dalam membentuk negara Islam di Malaysia sukar dicapai.

“Jika muzakarah ini berjaya diadakan, saya berpendapat kedua-dua pihak masih sukar untuk mencapai kata sepakat.

“Ia kerana, Umno mengamalkan pemerintahan Islam secara prakmatik sementara Pas berpegang kepada prinsip Islam yang ortodok, terdapat jurang yang terlalu besar di sini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Monday, November 25, 2013

PAS SEDIA MUZAKARAH LAGI DENGAN UMNO

SHAH ALAM - Pas melahirkan kesediaan bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kalau dia (Umno) kata nak laksanakan Islam dengan bersungguh-sungguh, mari kita muzakarah.

"Pas bersedia untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha pelaksanaan Islam. Media, siar perkara ini.

"InsyaAllah ulama-ulama kita akan turun. Kita ramai ahli-ahli (pelbagai bidang), dia (Umno) hendak yang tua pun ada, muda pun ada," katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-59 di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau membangkitkan pelbagai tindakan Umno berkaitan isu-isu perjuangan Islam termasuk isu penggunaan kalimah ALLAH.

Jelas Abdul Hadi, kesediaan Pas bermuzakarah itu dizahirkan dari kepakaran dan pemimpin mereka yang menguasai pelbagai bidang profesional seperti undang-undang, ekonomi dan penguatkuasaan.

"(Marilah) Kita bersatu atas Islam, satu bahtera, kiblat kita satu, tidak banyak kiblat kita, kiblat kita kiblat Islam dalam masyarakat majmuk," katanya.

Abdul Hadi dalam pada itu mendakwa Umno, bagi mendapatkan kuasa memerintah, sanggup menumpukan strategi bagi mendapatkan dan menguasai undi Melayu semata-mata dan bukannya cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Menurutnya Umno mengambil pendekatan menabur semangat kebangsaan bercampur aduk dengan asabiyah (kekitaan) kebangsaan bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Menurutnya pendekatan Pas berbeza yang mana lebih memberi kefahaman Islam mengikut Al-Quran, ijmak (kesepakatan ulama) dan qias sekaligus pendekatan ini boleh difahami orang Melayu. – Bernama

-Sumber: Sinar Harian