MUZAKARAH: KERAJAAN
PERLU BERSUNGGUH - TUAN IBRAHIM
Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
kerajaan tidak boleh sekadar bercakap tetapi perlu memastikan muzakarah yang
dicadangkan benar-benar dapat direalisasikan.
“Tidak boleh hanya bercakap tetapi kena tunjuk kesungguhan.
Ini kerana, banyak isu yang dibangkitkan oleh pembangkang perlu diambil
perhatian oleh kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahad lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam
ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan parti itu melahirkan kesediaan
bermuzakarah dengan Umno dalam usaha untuk melaksana pentadbiran berasaskan
ajaran Islam di negara ini.
Kenyataan itu disambut baik Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak yang mengatakan Umno bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan
Pas.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, cadangan muzakarah
tersebut timbul susulan usul mendesak kerajaan melaksanakan sistem perundangan
Islam yang diluluskan dalam muktamar lalu.
Katanya, usul tersebut memerlukan komitmen dan sokongan
bersama kerajaan persekutuan.
“Kita akan bawa usul ke Parlimen dan harap disambut baik
oleh semua ahli parlimen tanpa mengira parti politik sebab ini kewajipan.
Selain itu, kita akan hantar surat rasmi kepada perdana menteri.
“Di pihak Pas, saya fikir kita sudah menunjukkan kesungguhan
untuk bermuzakarah bagi memastikan pelaksanaan pentadbiran Islam dapat
dilaksanakan. Selebihnya, kita akan tengok bagaimana respons perdana menteri
sebagai ketua pemerintah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment