TAK BOLEH PRASANGKA
BAGI JAYAKAN MUZAKARAH
KUALA LUMPUR - Prasangka buruk tidak boleh wujud dalam
kalangan anggota Pas dan Umno sekiranya mahu menjayakan muzakarah antara Pas
dengan Umno.
Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin
berkata, sudah tiba masanya Pas dan Umno bermuzakarah demi menjaga kepentingan
Islam dan hak istimewa orang Melayu di negara ini daripada terus dipertikaikan
pihak tertentu.
"Kita hendaklah mempunyai prasangka yang baik supaya
muzakarah ini berjaya dan umat Islam serta orang Melayu dapat bersatu. Saya
sebagai ahli umno sangat mengalu-alukan muzakarah di antara Pas dengan
Umno," katanya anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita
di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyatakan kesediaan Pas
untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha melaksanakan pentadbiran berasaskan
ajaran Islam di negara ini.
Zahidi berkata dalam senario politik hari ini DAP sentiasa
mempertikaikan hak istimewa orang Melayu termasuk kepentingan Islam iaitu DAP
dilihat tidak mempedulikan pandangan Pas sebagai pakatan pembangkang.
"Mereka (DAP) sentiasa mempertikaikan Pas dan tidak ada
gunanya mereka (Pas) bersama DAP lagi. Oleh itu maka eloklah diadakan muzakarah
kerana sampai masanya umat Islam dan orang Melayu bersatu dan ini merupakan
satu tuntutan dalam agama," katanya.
Berkongsi pendapat yang sama, Ahli Parlimen Tanjong Karang,
Datuk Seri Noh Omar berkata, orang Melayu dan orang Islam perlu duduk
berbincang untuk masa depan anak cucu memandangkan sudah ada golongan tertentu
yang begitu berani mencabar kedudukan agama Islam dan Raja-raja Melayu.
"Ini semuanya berlaku kerana mereka (golongan tertentu)
melihat orang Melayu dan Islam begitu lemah sehingga mereka merasakan bahawa
mereka yang lebih berkuasa untuk menentukan politik negara kita,"
katanya.
Sehubungan itu, katanya sudah sampai masanya muzakarah
antara Pas dengan Umno diadakan dan diharapkan dapat menjadi kenyataan.
"Saya menyambut baik dan harap dapat jadi kenyataan.
Kita kena duduk berbincang bagaimana hendak pastikan hak kita, kedudukan Melayu
dan agama Islam tidak terus dicabar," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli
dari Pas berkata bermuzakarah adalah
satu perkara baik kerana keputusan yang diperoleh menerusi sesuatu muzakarah
sangat penting untuk menentukan pentadbiran negara.
"Cuma bagaimana kita lihat kepada keputusan
itu...pelaksanaan satu perkara yang lain, itu yang perlu ada muzakarah tetapi
pelaksanaan itu adalah berdasarkan kepada keputusan muzakarah, jadi
kadang-kadang sesuai atau tidaksesuai, itu yang perlu dilihat dari semasa ke
semasa," katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment