KOTA BHARU
- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hairan dengan sikap sesetengah
pihak termasuk ahli Pas yang mengkritik kerjasama parti itu dengan DAP.
Nik Aziz
berkata, sebagai sebuah rakan Pakatan Rakyat (PR), DAP tidak pernah mengacau
perjuangan Pas, malah menegaskan kerjasama antara dua parti itu perlu untuk
mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Saya pun
tidak tahu mengapa tersasar, orang berkenaan tidak sebut mengapa kita beralah
dengan DAP, jadi tidak tahu kenapa, yang keduanya saya tidak nampak DAP ganggu
kita.
“Masalahnya
orang-orang Pas tengok televisyen, dengar radio dan baca surat khabar Umno,
jadi terbawa-bawa. Jadi oleh yang demikian saya nasihat orang Pas boleh baca
surat khabar Umno, tapi kena ada jawapanlah,” katanya.
Nik Abdul
Aziz diminta mengulas kenyataan Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Dr
Shahnon Ahmad bahawa perjuangan politik Pas tidak lagi menepati kehendak Islam
sejak parti itu bekerjasama dengan DAP.
Dalam masa
yang sama, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa beberapa kali
mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa terdapat pemimpin Dap menolak Islam.
Sementara
itu, ketika ditanya sama ada Pas akan terus bekerjasama dengan DAP, Nik Aziz
yang juga Menteri Besar Kelantan hairan mengapa orang sebut kemenangan Pas
ketika ini disebabkan menumpang DAP.
“Saya rasa
pelik ada orang sebut kemenangan kita sekarang ini menumpang DAP. Saya mahu
tanya balik bila kemenangan tidak menumpang. Malah sewaktu zaman Rasulullah SAW
sampai Madinah, beliau ada buat perjanjian dengan kaum Yahudi.
“Jadi tidak
ada kemenangan yang tidak menumpang orang lain. Lebih-lebih lagi sekarang kita
guna sistem pilihan raya nak undi Cina, nak undi India,” katanya. –SinarHarian