Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata secara peribadi beliau
berpendapat pemberian BR1M patut dikekalkan namun perlu penambahbaikan bagi
memastikan bantuan disalurkan sampai kepada golongan sasar.
“Terserah
kepada Perdana Menteri, saya secara peribadi berpendapat memang baik,” katanya
kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tanjung
Bungai, Bekenu di sini, Khamis.
Maklum balas
hasil lawatan ke Limbang dan Miri, beliau mendapati majoriti rakyat menyambut
baik BR1M 2.0 yang bakal dilaksanakan mulai tahun depan dan mahu ia dikekalkan
kerana faedah besar kepada golongan berpendapatan rendah.
Muhyiddin
yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian BR1M mampu memberi impak lebih
positif berbanding skim rasionalisasi subsidi komoditi yang berkaitan dengan
pengurangan harga petrol dan gula kerana bantuan tersebut terus kepada golongan
yang disasarkan.
BR1M tahun
ini menyaksikan kerajaan persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi
rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah, yang dimanfaatkan oleh 4.2 juta
isi rumah membabitkan peruntukan kira-kira RM2.2 bilion, manakala BR1M 2.0
membabitkan peruntukan RM3 bilion dengan tambahan penerima kira-kira 2.7 juta
individu bujang.
Pada
pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk
Seri Najib Tun Razak mengumumkan BR1M 2.0 yang turut diperluas kepada orang
bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan kurang RM2,000 yang
melayakkan mereka menerima RM250.
Bagaimanapun
pelajar institusi pengajian tinggi tidak layak menerima BR1M 2.0, sebaliknya
mereka akan menerima Baucar Buku 1Malaysia juga bernilai RM250.
Terdahulu,
Muhyiddin membayangkan kemungkinan BR1M dikekalkan sekiranya rakyat memberi
kepercayaan semula kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah
negara dalam pilihan raya umum akan datang.
“Mungkin
BR1M boleh kekal,” katanya sambil menambah kerajaan BN sentiasa prihatin dengan
golongan berpendapatan rendah sehingga sanggup menyediakan pelbagai bantuan
bagi meringankan beban kos sara hidup. – BERNAMA/UtusanOnline
No comments:
Post a Comment